Ketua pemuda ahli syurga, Hasan bin Ali
radhiaLlahu anhuma, di dalam himpunan nasihat dan kata – kata hikmah yang
terakam di dalam sejarah ketinggian ilmu dan budinya pernah bekata;
“Kehancuran manusia
adalah pada 3 perkara: 1) Sifat takabbur. 2) Sifat Tamak. 3) Sifat dengki.
Adapun sifat takabbur, ia menghancurkan ugama dan kerananyalah iblis dilaknat
oleh Allah. Sifat tamak pula, ia adalah musuh kepada diri sendiri dan
kerananyalah nabi Adam dikeluarkan daripada syurga. Manakala sifat dengki
adalah pengepala kepada kejahatan dan kerananyalah Qabil telah sanggup membunuh
Habil.” ( Kitab ‘Allimu auladakum hubba aali baiti al nabi. ms 30 )
Inilah hikmah yang hebat dan cukup meruntun
jiwa untuk menginsafi diri dan mendorong taqwa kepada Allah. Semoga Allah
merahmati Hasan bin Ali radhiaLlahu anhuma dan menempatkan kita bersamanya dan
para sahabat radhiaLlahu anhum di syurgaNya.
Inilah 3 sifat buruk
yang disebut di dalam al Quran sebagai punca awal maksiat sang makhluk kepada
tuhannya. Sebelumnya tiada satupun makhluk kecuali tunduk dan patuh kepada
tuhan sang pencipta yang maha agung.
Ia bermula dengan sifat angkuh dan sombong
Iblis yang enggan sujud kepada Adam alaihissalam. Di situlah bermula keengkaran
dan kekufuran, lalu iblis dilaknat Allah.
Kemudian datuk kita terlalai oleh pujukan dan
tipudaya iblis daripada mengingati pesanan tuhannya untuk tidak mendekati
‘pokok sambung nyawa’ di syurga itu. Nabi Adam didorong oleh ketamakan untuk
kekal hidup tanpa mati di syurga menikmati anugerah Allah. Adam memakan
daripada pokok itu, lalu baginda dihukum dengan dikeluarkan daripada syurga
disebalik taubatnya yang diterima Allah.
Kemudian Allah menceritakan jenayah pertama di
muka bumi yang dilakukan oleh Qabil yang telah sanggup membunuh saudara
kandungnya sendiri, Habil kerana sifat dengki yang meluat – luat sehingga
membutakannya daripada mendengar nasihat yang benar daripada saudaranya itu.
Sayyidina Hasan telah mengingatkan kita bahawa
ketiga – tiga sifat buruk inilah yang akhirnya terus membunuh dan menghancurkan
manusia selepas daripada itu. Manusia gagal mengambil iktibar daripada cerita –
cerita awal kejadian manusia itu, gagal mengesan keburukan sifat – sifat
tersebut di dalam tubuh mereka dan gagal menghindari dan mengubatinya.
Sifat takabbur adalah
lawan sifat tawadhu’. Ia bermaksud membesar diri dan membangga – banggakan
keadaan dirinya, seterusnya memandang leceh dan rendah terhadap orang lain.
Inilah sifat paling buruk kerana daripadanyalah akan lahir dan bercabangan
sifat – sifat buruk yang lain. Ini kerana sifat itu hanya layak untuk Allah dan
menjadi milikNya semata – mata.
Sifat takabbur mudah dikesan kerana wujud
tanda – tanda yang zahir, antaranya; suka menunjuk diri di khalayak ramai,
menonjolkan kelebihannya di hadapan mereka, suka mengetuai majlis keramaian dan
berlagak semasa berjalan, tidak suka kata – katanya ditolak sekalipun salah
bahkan enggan menerima teguran dan memandang rendah terhadap orang yang lemah
dan miskin.
Selain itu, antara tanda – tanda takabbur lagi
adalah suka menyucikan diri sendiri dan memuji – mujinya, berbangga dengan
keturunannya dan menunjuk – nunjuk dengan kekayaannya, ilmunya, ibadahnya,
kecantikannya, kekuatannya, penyokong dan pembantunya yang ramai dan lain –
lain lagi.
Sifat tamak pula
adalah keinginan melampau untuk menikmati harta dan kedudukan. Tamak terhadap
harta ada 2 peringkat;
Pertama, terlalu
inginkan harta dan bersungguh – sungguh menperolehinya melalui jalannya yang
harus dan dibenarkan. Ini tetap
tercela kerana betapa banyak masanya dihabiskan untuk memburu harta sedangkan
masa itu adalah emas yang lebih bernilai daripada harta. Masanya itu sepatutnya
dihabiskan untuk memburu taqwa dan taat kepada Allah berbanding harta yang
telah ditetapkan oleh Allah untuknya.
Kedua, ketamakan
terhadap harta sehingga mendorongnya melampaui had yang dibenarkan syara’. Ia memasuki jalan – jalan haram tanpa
lagi menghiraukan kemurkaan Allah. Inilah penyakit ‘asy syuhh’ ( terlalu bakhil
) yang diingatkan Allah di dalam al Quran agar dijauhi.
Sabda Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam: ”
Berhati – hatilah kamu daripada sifat asy syuhh. Sesungguhnya asy syuhh itu
telah menghancurkan orang sebelum kamu. Ia menyuruh kepada putus hubungan, lalu
mereka memutuskannya. Ia menyuruh kepada kebakhilan, lalu mereka menjadi
bakhil. Ia menyuruh kepada kejahatan, lalu mereka melakukan kejahatan.” (
Riwayat Abi Daud. Albani mensahihkannya.)
Adapun tamak kepada kedudukan, maka ia adalah
lebih buruk daripada tamak kepada harta. Ia terbahagi kepada 2 bahagian;
Pertama, tamak kepada
kedudukan melalui kuasa dan harta. Ini cukup bahaya kerana ia akan menghalang daripada
kebaikan akhirat dan kemuliaannya. Orang yang menggilai kekuasaan tidak akan
dibantu dan diberi petunjuk oleh Allah kecuali mereka yang menerimanya tanpa
meminta.
Kedua, tamak kepada
kedudukan melalui perkara – perkara ugama seperti ilmu, amal, kezuhudan dan
sebagainya. Inilah seburuk – buruk
ketamakan. Agama adalah untuk memburu dan mengejar ridha Allah dan kedudukan di
sisiNya, tetapi mereka ini telah menyalah gunakannya untuk keduniaan.
Manakala sifat dengki
pula, maka ia adalah lawan sifat suka dan mengimpikan kebaikan untuk orang
lain. Dengki
menjadikan tuannya terlalu mengimpikan sesuatu nikmat itu hilang daripada orang
lain. Ia adalah penyakit yang buruk, hina dan menghancurkan segala kebaikan.
Allah menyuruh nabiNya berdoa agar dijauhi daripada kejahatan mereka yang
berdengki. ( Surah al ‘alaq; 5 )
Hasad dengki terjadi akibat beberapa perkara;
permusuhan, kebencian, ujub, cintakan kedudukan, busuk hati dan lain – lain
penyakit hati. Ia terlalu buruk dan menakutkan kerana ia boleh saja berlaku di
kalangan sendiri, kawan – kawan, para ulama dan peniaga dan keluarga.
Itulah gambaran
ringkas keburukan 3 penyakit utama yang menghancurkan manusia sebagaimana
digambarkan oleh Sayyidina Hasan bin Ali radhiaLlahu anhu.
Semoga Allah
memudahkan kita untuk menjauhi diri daripada berakhlak dengan akhlak – akhlak
yang buruk dan terhina. Bersamalah menghias diri dengan sifat – sifat agama
yang mulia.
No comments :
Post a Comment