Wednesday, November 26, 2014

Artikel : Menjana Pendapatan Melalui Hobi

KEUSAHAWANAN MUDA
Menjana Pendapatan melalui Hobi
Oleh:
Siti Hajar binti Aladin
(Jabatan Pelaburan)

ABSTRAK

Anak muda bumiputera pada hari ini lebih didedahkan tentang perniagaan di usia muda bagi menjadi saingan kepada bangsa lain. Saingan sengit di antara kaum Cina, India dan Melayu melihatkan anak muda Melayu masih lagi kekurangan ilmu dalam dunia perniagaan. Kongres Usahawan Muda Bumiputera dianjurkan oleh Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB) Malaysia juga telah diadakan pada Mac 2014. Ia merupakan satu wadah bagi usahawan muda untuk mencerna landskap ekosistem perniagaan baharu dan berkongsi maklumat dengan kerajaan tentang kekangan dan keperluan generasi usahawan muda bumiputera.

PENGENALAN

Masalah usahawan Muda pada hari ini adalah mereka tidak pasti tentang perniagaan yang ingin diceburi sehingga ada yang terpaksa berhenti separuh jalan dalam dunia perniagaan. Perniagaan yang diusahakan mestilah berlandaskan minat. Minat terhadap sesuatu amat penting bagi melahirkan pemikiran yang kreatif dan kritis dalam memajukan perniagaan. Usahawan perlu memikirkan sesuatu yang lain daripada yang lain bagi menarik minat pelanggan. Idea serta kreativiti  yang berbeza dari usahawan lain mampu menjana pendapatan berlipat kali ganda seiring dengan servis dan produk yang menepati citarasa pelanggan.

Kelemahan serta kekurangan dalam sesuatu perniagaan merupakan lumrah dalam menjana ekonomi diri. Tetapi jangan jadikan ia sebagai satu bebanan terhadap masalah yang dihadapi, kerana kadang-kadang kita sendiri tidak sedar bahawa kelemahan itu merupakan pengajaran yang kita perlu ambil untuk memperbaiki kelemahan serta kekurangan dalam diri kita serta perniagaan kita. Contohnya, jikalau lihat usahawan muda pada hari ini boleh dikatakan lebih cenderung dalam perniagaan pakaian. Ada yang berjaya dan ada yang tidak berjaya. Ini kerana yang berjaya itu adalah mereka yang sentiasa mencipta idea-idea yang menarik dan fesyen-fesyen yang mengikut peredaraan masa terhadap produk mereka dan mereka yang tidak berjaya, mereka hanya meniru produk orang lain tanpa memberi idea-idea yang boleh mengembangkan perniagaan mereka.

Perkongsian yang dikongsikan di dalam artikel ini bakal membuka mata usahawan muda cara terbaik menjadi usahawan muda yang berjaya. Bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan, pasti tertanya-tanya perniagaan apakah yang boleh mereka lakukan ? Bagaimana ingin memulakan perniagaan yang boleh mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda?

HOBI MEMBANTU MENJANA PENDAPATAN

Ramai anak muda mungkin tidak perasan bahawa daripada hobi juga boleh menjana pendapatan, bukan sekadar pendapatan sampingan tetapi juga pendapatan tetap. Seperti yang diperkatakan di atas, minat adalah penting dalam menjana perniagaan. Ini kerana sesuatu perniagaan itu perlu datang daripada minat, diikuti dengan idea-idea yang diluar dari kotak pemikiran kita dan menepati keinginan pelanggan kita.

Beberapa contoh hobi yang boleh menjana pendapatan untuk mereka yang baru menceburi bidang perniagaan. Antaranya, memasak dan membuat kek, menjahit, membaca dan menulis blog, melancong dan lain-lain. Bagaimana dikatakan boleh menjana pendapatan daripada hobi-hobi ini?

Bagi anak-anak muda yang minat memasak dan membuat kek, peluang mereka sangat luas untuk mengembangkan bakat masakan mereka.Daripada satu resepi yang sedia ada, mereka boleh mencuba untuk mengubah resepi asal kepada yang lebih menarik. Cuba lihat Restoran ‘Secret Recipe’, pada awalnya mereka cuma menyediakan kek keju, tetapi idea yang sentiasa mereka fikirkan maka terhasillah beberapa perisa kek keju, antara nya durian, teh hijau dan macam-macam lagi.  Pernahkah anda terdengar greentea cheese cake di mana-mana bakeri kecuali Secret Recipe ? Maka, apabila pelanggan teringinkan greentea cheese cake maka terus bermain difikiran mereka bahawa Secret Recipe sahaja menyediakan kek itu. Jika usahawan itu berjaya untuk menjaga, mengekalkan dan mempelbagaikan produk mereka, maka mereka telah berjaya memenuhi keinginan pelanggan mereka.

Seterusnya, melancong. Mesti ramai sedang berfikir bagaimana dengan melancong boleh menjana pendapatan bukan? Kepada mereka yang suka melancong, pasti mereka akan belajar dari awal lagi bagaimana ingin membeli tiket, pengurusan visa, pengurusan ketika berada di luar negara. Kerana mereka yang kaki berjalan ini pasti tiada masalah tentang tempat yang ingin dituju. Jadi, bagaimana yang dikatakan menjana pendapatan? Pada hari ini, rakyat Malaysia mampu terbang ke luar negara kerana promosi yang ditawarkan oleh pihak MAS, AirAsia, Fireflyz amatlah murah dan berpatutan. Tetapi mereka hanya membeli tiket, bagaimana pula pengurusan lain-lain seperti makan, hotel, pengangkutan di negara itu nanti?  Jadi, bagi mereka yang minat melancong, inilah adalah peluang emas untuk mereka memulakan perniagaan bagi pengurusan pakej atau bahasa yang kerap digunakan “underground package”.  Pada hari ini, mereka lebih memilih Underground package bagi mengurangkan kos pelancongan mereka ke sesebuah negara. Antara usahawan-usahawan muda yang telah berjaya dalam industri pelancongan yang hanya menawarkan “underground package” seperti Wenkt Vacation Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh Syazwan Zanini yang merupakan seorang anak Melayu muda yang berjaya dalam servis “underground package”. Bermula daripada minat dan hobinya melancong, sehinggalah sekarang menjadi pendapatan tetap kepada beliau dalam industri pelancongan.

Menulis blog juga boleh dijadikan ia sebagai pendapatan sampingan kepada usahawan muda. Pengacara dan model sambilan, Hanis Zalikha memulakan kariernya daripada menulis blog miliknya sendiri iaitu inibelogsaya.blogspot.com dan sekarang beliau dikenali ramai. Seperti usahawan muda, mereka bukan setakat boleh mempromosikan produk mereka malah juga boleh berkongsi cerita di blog mereka. Lebih banyak penulisan yang ditulis, lebih ramai akan melayari blog berkenaan. Daripada situlah datangnya pendapatan kepada usahawan. Seperti Nuffnang, mereka sentiasa mencari blog yang aktif untuk mempromosikan iklan di ruang-ruang blog berkenaan. Nuffnang akan membayar kepada penulis blog secara bulanan berdasarkan berapa ramai yang membuka iklan di blog tersebut. Tidak kurang hebatnya laman sesawang beautifulnara.com. Penulisnya kerap mengemaskini cerita-cerita menarik dan isu-isu semasa. Ini membuatkan ramai pembaca memilih laman webnya untuk membaca isu-isu semasa dan pada masa yang sama,  melihat pelbagai promosi yang menarik di laman web itu. Pendapatan bersih bagi seorang penulis blog yang hebat boleh mencecah lima angka.

Menjahit juga bukan sekadar satu pekerjaan tetapi ia juga merupakan hobi. Pereka-pereka fesyen di Malaysia kebanyakannya bermula daripada minat terhadap jahitan dan rekaan pakaian. Mereka mulakan karies dengan menjahit pakaian dan dari situlah mereka memulakan karier sebagai pereka fesyen sehingga boleh terkenal seluruh dunia. Asas jahitan amatlah penting bagi seseorang pereka fesyen kerana ia menentukan kekemasan sepasang pakaian itu. Bagi usahawan muda yang mempunyai hobi menjahit, ini adalah perniagaan yang baik untuk mereka. Bermula dengan mengambil tempahan menjahit pakaian yang mudah, menjahit manik, daripada situ mereka boleh untuk memulakan perniagaan dalam bidang pakaian dan jahitan.

IDEA YANG BERNAS MENGHASILKAN BARANGAN YANG BERKUALITI

Itu adalah antara contoh-contoh hobi yang boleh dijadikan perniagaan bagi anak muda hari ini. Apabila ia menjadi minat, tidak kiralah perniagaan apa sekalipun ia pasti mampu menarik pembeli yang ramai dan ia akan menjadi lebih menarik lagi jika idea-idea yang asal dapat dikembangkan menjadi lain daripada yang lain. Tidak dinafikan, di awal perniagaan pasti akan mendapat kritikan dan komen-komen negatif, tetapi jika mereka yakin dengan perniagaan yang mereka jalankan, teruskan perniagaan dan jadikan kritikan itu sebagai sebahagian pembaik pulih perniagaan. Usahawan muda perlu sentiasa memikirkan idea-idea yang mungkin pelik tetapi menarik kerana ia mungkin membuahkan hasil di luar jangkaan. Tetapi jika kritikan  hebat yang diterima, sekurang-kurangnya ia membantu untuk dijadikan sebagai satu inspirasi kepada usahawan itu sendiri.

CABARAN DAN RINTANGAN ADALAH CABARAN

          Di dalam perniagaan, terlalu banyak cabaran dan rintangan. Bagi usahawan yang baru berjinak-jinak di dalam perniagaan, sentiasa memandang ke hadapan. Risiko sentiasa wujud di mana sahaja, untung dan rugi juga merupakan perkara normal di dalam pernigaan. Anak-anak muda yang baru mencorak perniagaan, adalah penting untuk sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan, kesan-kesan yang timbul, serta risiko yang bakal mereka hadapi. Paling penting adalah usahawan-usahawan muda janganlah tergopoh-gopoh dalam mencari keuntungan.

PROMOSI DAN PENGIKLANAN ASAS UTAMA

          Promosi dan pengiklanan adalah elemen penting dalam sesuatu perniagaan. Impak terhadap iklan dan promosi mampu menarik lebih ramai pelanggan untuk membeli. Bagi usahawan muda, mereka pasti akan berasa sukar kerana masih baru di dalam dunia perniagaan jika dibandingkan dengan usahawan-usahawan yang telah lama bertapak.  Tetapi sebenarnya itu hanya satu alasan. Setiap manusia diberi daya kreativiti yang tersendiri bagi mencipta sesuatu yang luar biasa. Iklan yang mampu menarik minat untuk membeli perlulah setara dengan produk yang diiklankan. Penipuan di dalam pengiklanan akan membawa kerugian yang besar terhadap perniagaan.
          
Dunia semakin canggih. Pelbagai medium pengiklanan boleh digunalkan seperti ‘Facebook’, ‘Twitter’, dan juga lama sesawang seperti mudah.my, lazada.com.my dan pelbagai lagi. Walaupun usahawan muda masih lagi baru, tetpi jika mereka benar-benar kreatif dalam mengiklankan produk mereka, tiada yang mustahil untuk perniagaan mereka berkembang maju.

PENUTUP

Kesimpulannya, setiap anak muda pada hari ini mampu berdaya saing seiring dengan pembangunan negara. Setiap elemen-elemen penting di dalam perniagaan perlu diaplikasikan agar perniagaan yang dijalankan berada di landasan yang tepat. Minat adalah sangat penting di dalam perniagaan. Apabila datangnya minat, maka kecenderungan untuk berfikir secara kreatif dan kritis juga sangat mudah. Kejayaan adalah bukan satu destinasi tetapi ia adalah perjalanan yang tiada peghujung. Semakin jauh kita berjalan, semakin banyak ilmu yang kita akan timba.

“Tiada manusia yang berjaya dalam semua yang dilakukannya dan kewujudan kita ini sebenarnya mesti menempuh kegagalan. Yang penting ialah kita tidak menjadi lemah semasa kegagalan itu terjadi dan kekalkan usaha hingga ke akhir hayat.”
- Joseph Conrad


No comments :