Tuesday, May 1, 2018

FAMILY PALESTIN




Alhamdulillah, atas sumbangan orang ramai, Team saya yang terdiri daripada Azzam, Fahmie, Kak Zulia & Mell berjaya menjayakan misi membersih serta menggantikan kelengkapan rumah keluarga Palestin yang pernah saya ceritakan.

SIAPAKAH MEREKA

Saya dipertemukan dengan keluarga ini daripada Musa Nuwayri, nama yang tidak calang lagi dalam dunia misi kemanusiaan. Mengikut cerita asalnya mereka telah berada di Malaysia sejak 4 tahun yang lalu. Mereka datang dari Gaza, Palestin. Pasangan suami isteri ini adalah orang senang ketika berada di Palestin. Encik Isa adalah kontraktor dan isterinya pula mempunyai saloon. Mereka mempunyai 4 orang anak yang terdiri daripada Inaz, Mus’ab, Ahmad dan Fattah.  Mereka pindah ke Malaysia kerana keadaan di Gaza semakin kritikal dan rumah mereka hancur di bedil Israel.

Setibanya di Malaysia, mereka menetap di Gombak selama 2 tahun. Keadaan mereka mula sukar apabila encik Isa tidak mendapat pekerjaan. Mereka adalah pemegang kad UNCHR. Pemegang kad UNCHR boleh menetap di Malaysia tetapi tidak boleh bekerja. (Jangan tanya saya macam mana mereka nak hidup kalau boleh menetap tapi tak boleh bekerja..) Jadi beliau terpaksa bekerja secara haram bagi menanggung keluarga mereka. Setelah itu,mereka berpindah ke Ampang dimana anak-anak mereka mendapat pendidikan percuma yang ditaja oleh seorang jutawan di salah sebuah sekolah swasta. Jutawan ini menanggung yuran persekolahan dan juga semua keperluan pendidikan. (ini seperti yang diberitahu).

Pada 2016, peristiwa hitam menghantui keluarga Encik Isa yang saya tidak dapat ceritakan disini tetapi trauma hingga ke hari ini. Tertekan dengan apa yang berlaku, si isteri meninggalkan suaminya serta empat orang anak-anaknya. Daripada situ,keluarga ini seperti hilang arah. Rumah tidak terurus, makan minum tidak terjaga, hidup terlalu sukar.

Setelah ditinggalkan isteri, Inaz anak perempuan sulung yang mengambil tugasan menguruskan adik beradiknya. Encik Isa pula kerja tak menentu. Semua kerja dilakukan demi sesuap nasi. Adakala mereka tidak makan sehingga 10 hari jika encik Isa bekerja jauh. Duit yang ada didahulukan untuk sewa rumah. Makan nasi berlaukkan kuah itu perkara biasa. Tidak makan berhari-hari juga biasa.
Encik Isa seorang yang tidak memilih pekerjaan. Semua kerja dilakukan demi menyara keluarga, cuma kesukaran pada beliau untuk mendapatkan kerja memandangkan beliau hanya pemegang kad UNCHR.

Saya bertanyakan Inaz, jika tiada lauk makan dengan apa? Inaz menjawab, saya membeli kuah kari 50 sen di bawah flat. Mus’ab memberitahu saya jika dia lapar, dia akan tidur sahaja. Allah!

Pakaian mereka adalah pemberian daripada UNCHR. Pakaian yang tidak sesuai dipakai lagi. Dapat juga barang-barang seperti fridge zaman Jepun, motherboard PC rosak, tilam belutuk, meja office patah kaki, sofa tak cukup sifat. Allah.. Sungguh daif..

Jika melihat keadaan rumah mereka, mesti ada yang mengatakan ini sebenarnya attitude, bukannya daif. Tetapi saya tolak apa yang mereka sampaikan. Tiba-tiba Inaz mesej saya,

“Aunty, ini rumah kami di Palestin. Cantik...”

Betul.. memang cantik! kemas dan teratur. Tidak percaya jika rumah mereka sekarang ini adalah disebabkan attitude.

PERTEMUAN PERTAMA

Pertemuan pertama kami di rumah mereka di Ampang. Saya cuba mengumpulkan dana untuk membeli makanan untuk keluarga ini serta membantu apa yang perlu dan membawa mereka keluar untuk menjamu selera di luar. Pertama kali saya menjejakkan kaki ke rumah mereka, mulut saya mati seribu bahasa. Terkejut melihat keadaan rumah mereka. Tetapi selepas mereka menceritakan perkara sebenar, saya pasti ia adalah disebabkan trauma yang melampau. Ketika kami datang ziarah, Encik Isa dalam keadaan tidak sihat dimana beliau jatuh dari tangga yang tinggi ketika mengecat.  Terkejut saya melihat bill elektrik sebulannya. Rupanya disebabkan oleh peti sejuk zaman jepun yang memakan elektrik. Jadi saya memberi  baki duit sumbangan orang ramai untuk membayar bill elektrik dan juga sewa rumah yang tertunggak.

PERTEMUAN SETERUSNYA...

Pertemuan kali kedua, saya pergi bersama Mak untuk melihat kedaifan keluarga ini. Mak juga terkedu. Sepanjang di dalam kereta, Mak senyap sahaja rupanya ada perkara yang Mak ingin sampaikan.

“Kita kena tolong keluarga ni Hajar.. Cari dana untuk bantu ganti semua peralatan dalam rumah dia.. Diaorang hidup dalam keadaan yang sangat tak sihat.. Tak boleh biarkan macam ni.. Mak pun akan bagi duit untuk dibantu keluarga ini..”

Selepas mendapat semangat dari Mak, saya terus plan apa yang perlu saya lakukan. Anggaran awal adalah RM4,000. Alhamdulillah berjaya mengumpulkan dana tersebut untuk keluarga ini daripada rakan-rakan yang turut membantu..

HARI PENGEMASAN...

Rancangan awal ingin membuat 2 minggu berturut-turut..  Risau jika tidak sempat untuk menyiap semua nya. Maka, hari pertama pengemasan, pada mulanya kami hanya ingin membersihkan dapur, tetapi apabila kami duduk berbincang semula di rumah Encik Isa, kami fikirkan untuk clearkan semua pada hari yang sama.

Kak Zulia mengambil tugasan untuk mencari lori mengangkat barang untuk dibuang. Fahmie dan Azzam pula bahagian mengangkat, mengecat dan membasuh rumah (part ni saya dah bagitau cukup sekadar mop sahaja, tapi diaorang nak cuci), Saya, Kak Zulia & Mell mengambil tugasan untuk membersihkan dapur, membunuh lipas, memasang tikar dan mencari barang keperluan untuk dibeli..
Kami terus sahaja mencari barang-barang yang diperlukan seperti, peti sejuk, almari baju, meja belajar, katil, tilam, bantal, cadar, tikar getah. Dalam tempoh 2 jam semuanya selesai. Barang-barang juga dihantar pada hari berkenaan juga.

Kerana duit yang tidak mencukupi pada hari itu, jadi kami tidak dapat untuk membelikan TV dan juga barangan dapur. Total keseluruhan hampir mencecah RM4,500. Alhamdulillah, masing-masing sudi mengeluarkan duit untuk menampung jumlah yang kurang.

Kami tidak dapat menyelesaikan keseluruhan kerana masing-masing dah kepenatan dan ingin mengejar maghrib di rumah.

Tetapi Alhamdulillah Allah permudahkan segala urusan kami..
Inaz berbisik di telinga saya,

“Aunty.. Saya boleh ajak kawan-kawan saya datang ke rumah..”

Allah! Luluh hati bila Inaz berkata begitu.

Inaz antara yang Nampak ketara trauma dan depression nya. Langsung tidak senyum sehingga kami menyiapkan biliknya, baru Nampak senyuman di raut wajah Inaz..

PERBUALAN AZZAM DAN ENCIK ISA..
Menurut Encik Isa, anak nya Ahmad menghidapi penyakit yang tidak dapat diubati di Malaysia. Mengikut kata doctor di hospital, hanya pakar di Jerman sahaja boleh mengubati Ahmad ini. Kos untuk perubatan Ahmad mencecah RM300,000. Apabila sakit menyerang, Ahmad tidak mampu bergerak dan berjalan sehingga dua tiga hari.. Sekarang ini Ahmad hanya bertahan sahaja..

Allah.. Memang dugaan keluarga mereka ini kuat..

Ahmad ini seorang yang cukup bergaya. Saya ingat lagi, kali pertama saya membawa mereka keluar, Ahmad lah yang paling bergaya. Rambut disisip tepi, pakaian nya kemas walaupun nampak lusuh..

PERTEMUAN BARU-BARU INI...

Alhamdulillah 2 minggu lepas, kami sempat ke rumah Encik Isa. Rumah mereka sangat kemas. Dapur yang kami tak dapat bersihkan cukup kemas. Saya melihat jari encik Isa berbalut. Rupanya, dua jarinya terhiris pisau, jadi beliau hanya membalut sahaja luka sedangkan jika lihat pada kecederaan yang dialami, lukanya perlu dijahit. Saya meminta beliau untuk ke klinik supaya tidak terkena sebarang jangkitan..

JIRAN MEREKA...

Jiran mereka adalah keluarga Melayu. Ketika kami mengemas, jirannya datang ke rumah kami. Dia fikir encik Isa akan berpindah. Saya perkenalkan diri dan tujuan kami. Mengikut kata-kata jiran nya, kadang-kadang Inaz akan menghantar makanan kepada mereka, (makan rakyat Palestin).. Dalam hati saya, walaupun mereka susah, mereka tidak lupa untuk bersedekah.. Mungkin itu sebab Allah menghantar kami untuk membantu mereka atas dasar mereka sendiri pun memang baik... Anak-anaknya cukup menghormati kami...

TARGET SETERUSNYA...

Alhamdulillah, baru-baru ini kami mendapat dana untuk membelikan TVdan baki nya kami ingin membeli barangan dapur menjelang puasa serta membayar bill-bill dan sewa rumah..
Kami masih mengumpulkan dana untuk puasa dan raya bagi keluarga ini dan pada masa yang sama masih mencarikan pekerjaan untuk Encik Isa..

Jika anda ingin membantu keluarga ini, amatlah dialu-alukan.. InsyaAllah semua sumbangannya akan saya sampaikan terus kepada keluarga ini...

Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua penyumbang-penyumbang yang membantu keluarga ini..

Itu sahaja cerita saya buat masa ini..

-Siti Hajar Aladin-





 Rumah yang telah dibersihkan..









 Rumah sebelum dibersihkan




 

Rumah di Palestin sebelum di bom


 

1 comment :

Unknown said...

salam..sy nak tnya sikit pasal umrah diy kalau tak keberatan ..bole tak ya?