Tuesday, May 31, 2011

Harta Sepencarian..

Harta sepencarian bermakna harta yang dibeli selepas berkahwin tidak kira samada si suami yang mengeluarkan duit sendiri, mahupun isteri. Contohnya si suami membeli rumah selepas kahwin dan menggunakan sepenuhnya duit si suami, rumah itu tetap diklasifikasikan sebagai harta sepencarian kerana si isteri melaburkan dari segi tenaga untuk menjaga rumah itu. Jadi banyak perkara akan berlaku jika sesuatu tidak diigini berlaku antaranya cerai. Sebelum u all baca lebih panjang tentang harta sepencarian, ini nasihat saya, saya cadangkan u all belilah rumah @ kereta sebelum berkahwin.. Ini kerana jika you all beli selepas berkahwin, jika berlaku perceraian, maka harta itu akan dibahagikan dua walaupun u all seorang yang mengeluarkan duit.. Harap-harap jauhkan lah dari penceraian.. Nauzubillah.... ok lah.. teruskan membaca tentang harta sepencarian....

Harta sepencarian mengikut syarak ditafsirkan sebagai pemerolehan harta sepanjang tempoh perkahwinan sama ada membabitkan harta alih atau tak alih dan pihak yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Tuntutan biasanya ditimbulkan oleh isteri atau bekas isteri apabila membabitkan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkahwinan sama ada secara tak langsung misalnya urusan menguruskan rumah tangga. Sumbangan secara langsung misalnya isteri mengeluarkan modal terutama dalam bentuk kewangan untuk mendapatkan harta dalam tempoh perkahwinan. Begitu juga jika satu pihak itu meninggal dunia, pasangan akan meminta harta itu dibahagikan dulu sebagai harta sepencarian sebelum diisytihar sebagai harta pusaka.

Kitab At-Turuq al-Hukmiyah karya Ibnu Qayyim al-Juziyyah mengatakan, dalam tuntutan suami isteri membabitkan harta sepencarian, tuntutan hendaklah berdasarkan keterangan pihak yang membuktikan tuntutan itu.

Pemilikan ke atas sesuatu harta bukan berdasarkan kepada nama atas harta itu semata-mata kerana nama tertera belum membuktikan dia pemilik sebenar. Kenyataan itu dibuat dengan maksud adalah satu kezaliman jika hak milik sesuatu harta hanya diambil kira berdasarkan nama atas harta itu semata-mata sedangkan pihak satu lagi mungkin menyumbang cuma namanya tidak dinyatakan ke atas harta berkenaan.

Rasional keharusan pembahagian harta sepencarian menunjukkan pengiktirafan syarak terhadap hak, habuan dan pemilikan pihak berusaha mendapatkan harta itu sepanjang perkahwinan. Hukum harta sepencarian tidak dinyata secara jelas. Cuma pembahagian itu dibuat bersandarkan kemaslahatan pihak atas prinsip keadilan dan hak.

Prosedur pembahagian harta sepencarian juga tidak dinyatakan secara tepat dalam hukum syarak. Merujuk kepada amalan biasa penghakiman di mahkamah syariah, pembahagian harta sepencarian ke atas seorang isteri ditentukan setakat harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan.

Ini termasuk sumbangan isteri menguruskan rumah tangga, menjaga anak, melayan suami, menyebabkan suami merasa kehidupan yang tenang dan dapat menumpukan kerjaya sehingga suami dapat memperoleh harta dalam tempoh perkahwinan mereka. Tuntutan terhadap harta sepencarian bukanlah dihadkan kepada isteri saja, malah suami juga berhak menuntut harta sepencarian daripada isteri.

Seksyen 122 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 (EUKIS 2003 menetapkan: Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagikan antara mereka atau supaya aset yang diperoleh pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan dibahagikan antara pihak-pihak itu.

Kemudian seksyen 122 (2) menjelaskan, pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), mahkamah hendaklah mengambil perhatian mengenai:

1.Takat sumbangan yang dibuat tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset itu,

2. Apa-apa yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka,

3. Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.

Tertakluk kepada seksyen 122 (2), mahkamah hendaklah membuat pertimbangan sama banyak. Namun, mahkamah juga boleh memerintahkan supaya aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan sama rata antara kedua pihak sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 122 (3).

Untuk menjalankan perintah di bawah Seksyen 122(3) mahkamah hendaklah memberi perhatian terhadap beberapa perkara seperti mana yang diperuntukkan di bawah seksyen 122 (4):

1.Takat sumbangan yang dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga,

2.Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.

Tertakluk kepada pertimbangan seksyen 122 (4), mahkamah dengan kuasa yang ada boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan mengikut apa-apa kadar yang difikirkan munasabah, tetapi walau bagaimanapun, pihak yang memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

Perbezaan harta sepencarian dan faraid adalah faraid pembahagian harta pusaka yang ditetapkan syarak kepada para ahli waris. Ada tiga golongan ahli waris yang melayakkan mereka menerima harta pusaka, pertama, melalui hubungan keturunan, perkahwinan dan juga wala' (hubungan kekeluargaan). Isteri termasuk dalam golongan waris yang layak menerima pusaka melalui hubungan perkahwinan.

Hukum pusaka disyariatkan dalam Islam. Ia telah disahkan serta dinyatakan dalam al-Quran dan sunnah serta ijma' ulama.

No comments :