Thursday, February 21, 2013

Dia yang Saya Cinta, Kasih dan Sayang


Setiap kali Februari menjengah, hati dan perasaan saya pasti lebih kuat terkenangkan si dia, cinta hati saya. Feb 1995 saya berpisah dengannya. Sudah lama namun memori saya dengan jelas masih teringat rupa parasnya, senyumnya, terdengar2 suaranya malah boleh saya bayangkan dengan jelas urat2 yang timbul di tangan tuanya itu. Manakan tidak, itulah tangan yang sering mengelus rambut, menyuap nasi malah memicit kaki saya ketika tidur. Bukan pada saya saja, malah pada adik beradik dan sepupu2 yg lain juga.

Ketika kecil, bila hujan lebat turun membasahi rumah papan kami, itulah saat yang saya nantikan. Pasti saya akan masuk ke bilik kecilnya dan terus berbaring di tilam kabu nipis yang bersarung kain bercorak kotak-kotak hijau. Sambil berbaring, saya menunggu dia memulakan cerita. Cerita yang sama, cerita yang telah berpuluh kali saya dengar. Atau mungkin beratus kali. Cerita tentang anaknya, Miskiah, yang telah meninggal dunia akibat demam panas. Bagaimana jururawat mat saleh, yang dulu dipanggil 'sister', naik ke rumah dengan heels, berdetap-detap bunyinya lalu mengarahkan agar anak kecil itu segera di bawa ke hospital. Sambil bercerita setiap detailnya, seolah-olah peristiwa itu baru berlaku semalam. Sungguh dia tak mampu melupakan anaknya itu, meski tuhan mengurniakan 12 anak lain kepadanya. Tiap kali cerita itu juga, saya pasti melontar soalan yang sama, mana cantik dia dengan Cik Ani? Saya membanding Miskiah dengan makcik bongsu saya yang saya kira begitu cantik dan manis. "Cik Ani manis, Miskiah pula macam orang putih", jawabnya konsisten. Selama cerita berlangsung, tangan tuanya akan memicit2 kaki dan tangan saya, kesian katanya, sudahlah kurus, kalau main tak tau nak berhenti. Saya pula pasti cuba melengah2 cerita, biar sesi urutan berpanjangan. Sungguh, saya amat rindu saat2 itu. Saya rindu dia, tilam kekabu nipis itu dan bunyi hujan yang menghentam zink buruk rumah kami.

Dulu sewaktu kecil, dia amat berbangga dengan kebolehan saya petah berbicara. Tiap kali adiknya datang, pasti disuruhnya saya berpidato, tidak kisah tajuknya asal intonasinya ada turun naik dan penuh semangat. Sambil duduk mengunyah tembakau, dia dan adiknya begitu teruja melihat saya. Masih bisa saya bayangkan wajah mereka. Bila habis saya berpidato, pasti cinta hati saya ini memandang adiknya, sambil tersenyum bangga. Saya pula pasti ketawa terkekeh2 kerana saya sendiri tidak faham apa yang saya sampaikan. Cuma, saya begitu gembira melihat dia berasa bangga dengan saya.

Kini, setiap kali takbir, pasti saya terkenang dia. Sehinggalah raya terakhir bersamanya, saya pasti duduk di sebelahnya kala dia mendengar takbir di kaca tv. Kami sama2 ikut bertakbir. Dia akan duduk di atas kerusi besi berkusyen pvc biru di depan tv hitam putih kami, sambil saya bersandar di kakinya. Sungguh damai rasanya. Matanya merah. Saya tahu dia terkenangkan orang2 yang dikasihinya dan telah tiada. Takbir kini pasti mengheret saya pada memori itu. Saat saya pula yang terkenang dan merindukannya. Sedang adik beradik dan sepupu yang lain pergi berhari raya, jika dia keseorangan, saya akan menemaninya, bimbang jika nanti tamu datang tiada siapa pula nak buat minuman. Diam2 dipeluk ciumnya saya, tanda terima kasih darinya.

Bukan itu saja, kami juga punya baju kurung raya yang sama. Warna coklat cair dengan bunga- bunga kecil pelbagai warna. Sungguh veteran coraknya. Baju kurung itulah yang sering saya pakai tatkala rindu menebal terhadapnya setelah dia tiada. Ketika di universiti, bila memakai baju itu, ada jua kawan yang menegur betapa 'tua' pattern-nya tapi saya diamkan saja. Apa yang mereka tidak tahu, saya membawa semangat seorang wanita yang sukar hidupnya, tapi hatinya besar, penuh cinta utk saya dan keluarganya. Ya, acapkali menyarung si coklat berbunga2, itulah perasaan dan semangat saya.

Ketika meningkat remaja, sering dia ingatkan saya, agar jangan memilih jodoh, andai ada yang sudi terima saja. Saya tidak setuju dengannya, membantah dn mengingatkannya itu cara wanita lama. Saya katakan padanya, saya hanya akan berkahwin dgn lelaki yg saya cintai. Tidak kisah tak kahwin jika tak jumpa. Gusarnya dia. Bimbang jika saya lambat bertemu jodoh. Setiap kali itu juga, mukanya pasti murung, oh sungguh risau dia.

Sewaktu lebuhraya Plus masih dalam pembinaan, kami berdiri di tepi jambatan sambil melihat tanah merah yang diratakan. "Nanti bila hiway dah siap, atuk boleh datang rumah Anum naik bas. Hujung minggu Atuk datang". Berbunga hati saya mendengar janjinya itu. Sungguh saya memang cinta dia.

Ketika guru besar sekolah datang ke rumah menyampaikan keputusan saya, begitu gembira dia. Penuh teruja. Langsung membuat janji dengan saya. "Kalau Anum pegi Ostroliah, Anum belikan atuk kain ye?" pintanya jika saya menjejak kaki ke negara kangaroo itu. Saya ketawa. Pegang janjinya. Ingat janjinya.

Tapi dia sudah lama tiada. Namun kuatnya dia dalam ingatan saya sehingga kini...

Ketika sakitnya dia, saya mengikuti kursus bahasa inggeris di Akademi MARA (MLA). Sehari sebelum pemergiannya, jiwa saya kacau, fikiran saya kecamuk. " Atuk macam tu lah" jawab emak bila saya bertanyakan khabar si buah hati saya. Menjelang tengah hari, saya nekad bertemu guru kelas, berkeras akan balik ke kampung hari itu juga sedang hujung minggu tersebut semua pelajar tidak dibenarkan balik. Saya tekankan padanya, walau pak guard menghalang pun akan saya redahi dia. Guru tersebut mengalah lalu membenarkan saya pulang ke desa.

Rupanya jiwa kecamuk itu bagai petanda. Tidak sangka saya keesokan harinya Izrail datang menjemput kekasih hati saya.

Masih saya ingat saat- saat itu. Masih terasa perasaan itu. Sebunya tidak hilang hingga kini. Ketika itu, saya duduk di sisi kirinya, saya elusi tangan tuanya Air mata saya mengalir tenang tanpa boleh diseka. Saya amati wajahnya dalam2. Ingin saya dakap erat2. Saya tahu itu saat2 terakhir saya bersamanya. Hati saya menjerit gila. Merayu agar dia dipanjangkan hayatnya. Tapi, begitu jelas dia sedang berperang dengan sakaratul maut. Anak bongsu kesayangannya, tak henti berbisik ayat suci kepadanya. Kak Peah, cucunya jua, duduk di hujung kaki. Di sebelah kanannya pula, duduk suami Cik Ani. Pagi sekitar jam 4 itu, keadaan hening dan sepi, hanya suara kami berempat menyebut ayat2 suci dan bunyi nafasnya yang semakin dalam. Tatkala dia menarik nafas yang begitu dalam dan kuat, saya tahu masanya sudah dekat amat. Genap 4 kali nafas selepas itu, dia meninggalkan saya selamanya. Meninggalkan kenangan suka duka bersama pada saya.

Di bilik kecil yang sama, di mana saya dan dia sering bercerita, bergelak ketawa bersama, di bilik itulah jua jenazahnya dimandikan. Saya bisikkan pada emak hasrat saya untuk berbakti kepada si dia buat kali terakhir. Langsung emak mencari tempat dan menyuruh saya duduk berlunjur. Saya mengampu kaki kecilnya ketika dia dimandikan. Tiada lagi air mata membasahi pipi namun hati saya menangis selautan melihat tubuhnya yang terbujur kaku. Terpandang saya parut luka di atas pergelangan kakinya terkena cangkul beberapa tahun sebelumnya. Lebih sayu jadinya..

Dia sudah lama tiada. Namun hati sering teringatkannya. Sering mencarinya dalam mimpi2 saya. Sering terfikirkannya.

Setiap kali saya terpandang wanita seumur dengannya, berbadan sepertinya, pasti saya mencari2 rautnya, agar hilang rindu yg tebal di dada.

Ketika saya menjejak kaki ke tanah suci, ada harapan tidak terluah agar saya di'pandang'kan dia, rindu benar mata ini ingin melihatnya.

Ketika melangkah masuk ke masjid nabawi, di antara deretan tong-tong air zam zam di kiri dan kanan saya, mata saya melilau mencari tempat untuk menunaikan solat sunat. Ketika itulah, saya terpandang dia, sedang berjalan dalam pakaian telekungnya. Langkah saya terus mati. Dia begitu jelas dan nyata. Semakin dekat dengan saya. Kaku saya berdiri di situ melihat dia. Kelu. Berderai air mata tumpah menderu2 tanpa suara. Tidak saya hiraukan pandangan jemaah lain yang sibuk keluar masuk. Ada juga yang menepuk bahu saya. Sedang jiwa dan perasaan saya berlari deras memeluk dan menciumnya, jasad saya pula kaku berdiri, bagai terpasak ke bumi. Mungkinkah itu hadiah Yang Esa pada diri saya? Walla hualam.

Setiap kali saya melalui jambatan yang pernah satu ketika kami berdiri bersama, pasti saya teringatkan dia. Tatkala Highway PLUS sudah mula beroperasi, dia si cinta saya sudah uzur untuk menunaikan janjinya.

Tiap kali juga saya menjamah begedel, pasti saya teringat dia, kerana itulah makanan terakhir saya suapkan untuknya sebelum saya kembali ke MLA. Masih terlihat di mata, bagaimana sukar dia mengunyah makanan kegemarannya itu sambil tersenyum ke arah saya. " Atuk tak de apa2 nak bagi Anum, tp anting2 ni Anum simpan ye" Deras air mata saya tidak tertahan. Saya tegaskan padanya saya tak mahu anting2 itu. " Buat apa nak bagi? Itu atuk punya. Nanti atuk sihat semula." Akhirnya kami sama2 menitiskan air mata.

Sering saya terfikir, apa katanya bila melihat jodoh saya. Ingin saya khabarkan padanya, telah saya pegang kata2 saya. Bukan saya saja yang mencintai, malah saya percaya saya juga dicintai sepenuh hati. Jika dia masih ada hari ini, tentu dia bingung melihat kelasakan cicit2nya.

Langit Australia telah saya tembusi tapi tanahnya tidak saya jejaki lagi. Sayu sungguh hati ketika di dalam burung besi bila co-pilot membuat pengumuman kami berada di ruang udara negara pulau terbesar itu. Sayu kerana saya teringat janji saya padanya, agar saya belikan kain kapas buatnya. Insya ALLAH atuk, pasti akan saya belikan kain untuknya satu hari nanti.

Di dalam amal dan sedekah saya yang sedikit ini, tidak pernah saya lupa akan dia. Sering saya merayu pada Yang Esa, agar dilapangkan rumahnya di alam sana, biar lena tidurnya, diterima amalnya. Sehingga saat dan detik ini, dia masih lagi hidup segar dalam ingatan saya.

Saya bersyukur anak2 saya dapat menikmati kasih tulus seperti saya dan nenek saya. Terima kasih ALLAH memberikan peluang anak2 saya berkasih sayang dengan datuk2 dan nenek2 mereka. Saya berdoa mereka juga menghargai setiap detik yang berharga ini.

Itulah kisah cinta saya bersama si dia. Dia - Hajjah Tohirah binti Kayat. Al-fatihah.

By; Kak Anum...

Atok, hajar rindu atok sangat!!! :'(


1 comment :

nazri said...

alfatihah.. smoga dia aman di sana..