Setiap kali Februari menjengah, hati dan perasaan saya pasti lebih kuat
terkenangkan si dia, cinta hati saya. Feb 1995 saya berpisah dengannya. Sudah
lama namun memori saya dengan jelas masih teringat rupa parasnya, senyumnya,
terdengar2 suaranya malah boleh saya bayangkan dengan jelas urat2 yang timbul
di tangan tuanya itu. Manakan tidak, itulah tangan yang sering mengelus rambut,
menyuap nasi malah memicit kaki saya ketika tidur. Bukan pada saya saja, malah
pada adik beradik dan sepupu2 yg lain juga.
Ketika
kecil, bila hujan lebat turun membasahi rumah papan kami, itulah saat yang saya
nantikan. Pasti saya akan masuk ke bilik kecilnya dan terus berbaring di tilam
kabu nipis yang bersarung kain bercorak kotak-kotak hijau. Sambil berbaring,
saya menunggu dia memulakan cerita. Cerita yang sama, cerita yang telah
berpuluh kali saya dengar. Atau mungkin beratus kali. Cerita tentang anaknya,
Miskiah, yang telah meninggal dunia akibat demam panas. Bagaimana jururawat mat
saleh, yang dulu dipanggil 'sister', naik ke rumah dengan heels,
berdetap-detap bunyinya lalu mengarahkan agar anak kecil itu segera di bawa ke
hospital. Sambil bercerita setiap detailnya, seolah-olah peristiwa itu baru
berlaku semalam. Sungguh dia tak mampu melupakan anaknya itu, meski tuhan
mengurniakan 12 anak lain kepadanya. Tiap kali cerita itu juga, saya pasti
melontar soalan yang sama, mana cantik dia dengan Cik Ani? Saya membanding
Miskiah dengan makcik bongsu saya yang saya kira begitu cantik dan manis.
"Cik Ani manis, Miskiah pula macam orang putih", jawabnya konsisten.
Selama cerita berlangsung, tangan tuanya akan memicit2 kaki dan tangan saya,
kesian katanya, sudahlah kurus, kalau main tak tau nak berhenti. Saya pula
pasti cuba melengah2 cerita, biar sesi urutan berpanjangan. Sungguh, saya amat
rindu saat2 itu. Saya rindu dia, tilam kekabu nipis itu dan bunyi hujan yang
menghentam zink buruk rumah kami.
Dulu
sewaktu kecil, dia amat berbangga dengan kebolehan saya petah berbicara. Tiap
kali adiknya datang, pasti disuruhnya saya berpidato, tidak kisah tajuknya asal
intonasinya ada turun naik dan penuh semangat. Sambil duduk mengunyah tembakau,
dia dan adiknya begitu teruja melihat saya. Masih bisa saya bayangkan wajah
mereka. Bila habis saya berpidato, pasti cinta hati saya ini memandang adiknya,
sambil tersenyum bangga. Saya pula pasti ketawa terkekeh2 kerana saya sendiri
tidak faham apa yang saya sampaikan. Cuma, saya begitu gembira melihat dia
berasa bangga dengan saya.
Kini,
setiap kali takbir, pasti saya terkenang dia. Sehinggalah raya terakhir
bersamanya, saya pasti duduk di sebelahnya kala dia mendengar takbir di kaca
tv. Kami sama2 ikut bertakbir. Dia akan duduk di atas kerusi besi berkusyen pvc
biru di depan tv hitam putih kami, sambil saya bersandar di kakinya. Sungguh damai
rasanya. Matanya merah. Saya tahu dia terkenangkan orang2 yang dikasihinya dan
telah tiada. Takbir kini pasti mengheret saya pada memori itu. Saat saya pula
yang terkenang dan merindukannya. Sedang adik beradik dan sepupu yang lain
pergi berhari raya, jika dia keseorangan, saya akan menemaninya, bimbang jika
nanti tamu datang tiada siapa pula nak buat minuman. Diam2 dipeluk ciumnya
saya, tanda terima kasih darinya.
Bukan
itu saja, kami juga punya baju kurung raya yang sama. Warna coklat cair dengan
bunga- bunga kecil pelbagai warna. Sungguh veteran coraknya.
Baju kurung itulah yang sering saya pakai tatkala rindu menebal terhadapnya
setelah dia tiada. Ketika di universiti, bila memakai baju itu, ada jua kawan
yang menegur betapa 'tua' pattern-nya tapi saya diamkan saja.
Apa yang mereka tidak tahu, saya membawa semangat seorang wanita yang sukar
hidupnya, tapi hatinya besar, penuh cinta utk saya dan keluarganya. Ya,
acapkali menyarung si coklat berbunga2, itulah perasaan dan semangat saya.
Ketika
meningkat remaja, sering dia ingatkan saya, agar jangan memilih jodoh, andai
ada yang sudi terima saja. Saya tidak setuju dengannya, membantah dn
mengingatkannya itu cara wanita lama. Saya katakan padanya, saya hanya akan
berkahwin dgn lelaki yg saya cintai. Tidak kisah tak kahwin jika tak jumpa.
Gusarnya dia. Bimbang jika saya lambat bertemu jodoh. Setiap kali itu juga,
mukanya pasti murung, oh sungguh risau dia.
Sewaktu
lebuhraya Plus masih dalam pembinaan, kami berdiri di tepi jambatan sambil
melihat tanah merah yang diratakan. "Nanti bila hiway dah siap, atuk boleh
datang rumah Anum naik bas. Hujung minggu Atuk datang". Berbunga hati saya
mendengar janjinya itu. Sungguh saya memang cinta dia.
Ketika
guru besar sekolah datang ke rumah menyampaikan keputusan saya, begitu gembira
dia. Penuh teruja. Langsung membuat janji dengan saya. "Kalau Anum pegi
Ostroliah, Anum belikan atuk kain ye?" pintanya jika saya menjejak kaki ke
negara kangaroo itu. Saya ketawa. Pegang janjinya. Ingat janjinya.
Tapi
dia sudah lama tiada. Namun kuatnya dia dalam ingatan saya sehingga kini...
Ketika
sakitnya dia, saya mengikuti kursus bahasa inggeris di Akademi MARA (MLA).
Sehari sebelum pemergiannya, jiwa saya kacau, fikiran saya kecamuk. " Atuk
macam tu lah" jawab emak bila saya bertanyakan khabar si buah hati saya.
Menjelang tengah hari, saya nekad bertemu guru kelas, berkeras akan balik ke
kampung hari itu juga sedang hujung minggu tersebut semua pelajar tidak
dibenarkan balik. Saya tekankan padanya, walau pak guard menghalang pun akan
saya redahi dia. Guru tersebut mengalah lalu membenarkan saya pulang ke desa.
Rupanya
jiwa kecamuk itu bagai petanda. Tidak sangka saya keesokan harinya Izrail datang
menjemput kekasih hati saya.
Masih
saya ingat saat- saat itu. Masih terasa perasaan itu. Sebunya tidak hilang
hingga kini. Ketika itu, saya duduk di sisi kirinya, saya elusi tangan tuanya
Air mata saya mengalir tenang tanpa boleh diseka. Saya amati wajahnya dalam2.
Ingin saya dakap erat2. Saya tahu itu saat2 terakhir saya bersamanya. Hati saya
menjerit gila. Merayu agar dia dipanjangkan hayatnya. Tapi, begitu jelas dia
sedang berperang dengan sakaratul maut. Anak bongsu kesayangannya, tak henti
berbisik ayat suci kepadanya. Kak Peah, cucunya jua, duduk di hujung kaki. Di
sebelah kanannya pula, duduk suami Cik Ani. Pagi sekitar jam 4 itu, keadaan
hening dan sepi, hanya suara kami berempat menyebut ayat2 suci dan bunyi
nafasnya yang semakin dalam. Tatkala dia menarik nafas yang begitu dalam dan
kuat, saya tahu masanya sudah dekat amat. Genap 4 kali nafas selepas itu, dia
meninggalkan saya selamanya. Meninggalkan kenangan suka duka bersama pada saya.
Di
bilik kecil yang sama, di mana saya dan dia sering bercerita, bergelak ketawa
bersama, di bilik itulah jua jenazahnya dimandikan. Saya bisikkan pada emak
hasrat saya untuk berbakti kepada si dia buat kali terakhir. Langsung emak
mencari tempat dan menyuruh saya duduk berlunjur. Saya mengampu kaki kecilnya
ketika dia dimandikan. Tiada lagi air mata membasahi pipi namun hati saya
menangis selautan melihat tubuhnya yang terbujur kaku. Terpandang saya parut
luka di atas pergelangan kakinya terkena cangkul beberapa tahun sebelumnya.
Lebih sayu jadinya..
Dia
sudah lama tiada. Namun hati sering teringatkannya. Sering mencarinya dalam
mimpi2 saya. Sering terfikirkannya.
Setiap
kali saya terpandang wanita seumur dengannya, berbadan sepertinya, pasti saya
mencari2 rautnya, agar hilang rindu yg tebal di dada.
Ketika
saya menjejak kaki ke tanah suci, ada harapan tidak terluah agar saya
di'pandang'kan dia, rindu benar mata ini ingin melihatnya.
Ketika
melangkah masuk ke masjid nabawi, di antara deretan tong-tong air zam zam di
kiri dan kanan saya, mata saya melilau mencari tempat untuk menunaikan solat
sunat. Ketika itulah, saya terpandang dia, sedang berjalan dalam pakaian
telekungnya. Langkah saya terus mati. Dia begitu jelas dan nyata. Semakin dekat
dengan saya. Kaku saya berdiri di situ melihat dia. Kelu. Berderai air mata
tumpah menderu2 tanpa suara. Tidak saya hiraukan pandangan jemaah lain yang
sibuk keluar masuk. Ada juga yang menepuk bahu saya. Sedang jiwa dan perasaan
saya berlari deras memeluk dan menciumnya, jasad saya pula kaku berdiri, bagai
terpasak ke bumi. Mungkinkah itu hadiah Yang Esa pada diri saya? Walla hualam.
Setiap
kali saya melalui jambatan yang pernah satu ketika kami berdiri bersama, pasti
saya teringatkan dia. Tatkala Highway PLUS sudah mula beroperasi, dia si cinta
saya sudah uzur untuk menunaikan janjinya.
Tiap
kali juga saya menjamah begedel, pasti saya teringat dia, kerana itulah makanan
terakhir saya suapkan untuknya sebelum saya kembali ke MLA. Masih terlihat di
mata, bagaimana sukar dia mengunyah makanan kegemarannya itu sambil tersenyum
ke arah saya. " Atuk tak de apa2 nak bagi Anum, tp anting2 ni Anum simpan
ye" Deras air mata saya tidak tertahan. Saya tegaskan padanya saya tak
mahu anting2 itu. " Buat apa nak bagi? Itu atuk punya. Nanti atuk sihat
semula." Akhirnya kami sama2 menitiskan air mata.
Sering
saya terfikir, apa katanya bila melihat jodoh saya. Ingin saya khabarkan
padanya, telah saya pegang kata2 saya. Bukan saya saja yang mencintai, malah
saya percaya saya juga dicintai sepenuh hati. Jika dia masih ada hari ini,
tentu dia bingung melihat kelasakan cicit2nya.
Langit
Australia telah saya tembusi tapi tanahnya tidak saya jejaki lagi. Sayu sungguh
hati ketika di dalam burung besi bila co-pilot membuat pengumuman kami berada
di ruang udara negara pulau terbesar itu. Sayu kerana saya teringat janji saya
padanya, agar saya belikan kain kapas buatnya. Insya ALLAH atuk, pasti akan
saya belikan kain untuknya satu hari nanti.
Di
dalam amal dan sedekah saya yang sedikit ini, tidak pernah saya lupa akan dia.
Sering saya merayu pada Yang Esa, agar dilapangkan rumahnya di alam sana, biar
lena tidurnya, diterima amalnya. Sehingga saat dan detik ini, dia masih lagi
hidup segar dalam ingatan saya.
Saya
bersyukur anak2 saya dapat menikmati kasih tulus seperti saya dan nenek saya.
Terima kasih ALLAH memberikan peluang anak2 saya berkasih sayang dengan datuk2
dan nenek2 mereka. Saya berdoa mereka juga menghargai setiap detik yang
berharga ini.
Itulah
kisah cinta saya bersama si dia. Dia - Hajjah Tohirah binti Kayat. Al-fatihah.
By;
Kak Anum...
Atok,
hajar rindu atok sangat!!! :'(
alfatihah.. smoga dia aman di sana..
ReplyDelete