KEUSAHAWANAN
MUDA
Menjana
Pendapatan melalui Hobi
Oleh:
Siti
Hajar binti Aladin
(Jabatan
Pelaburan)
ABSTRAK
Anak muda
bumiputera pada hari ini lebih didedahkan tentang perniagaan di usia muda bagi
menjadi saingan kepada bangsa lain. Saingan sengit di antara kaum Cina, India
dan Melayu melihatkan anak muda Melayu masih lagi kekurangan ilmu dalam dunia
perniagaan. Kongres Usahawan Muda Bumiputera dianjurkan oleh Pertubuhan
Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB) Malaysia juga telah diadakan pada Mac
2014. Ia merupakan satu wadah bagi usahawan muda untuk mencerna landskap
ekosistem perniagaan baharu dan berkongsi maklumat dengan kerajaan tentang
kekangan dan keperluan generasi usahawan muda bumiputera.
PENGENALAN
Masalah usahawan
Muda pada hari ini adalah mereka tidak pasti tentang perniagaan yang ingin
diceburi sehingga ada yang terpaksa berhenti separuh jalan dalam dunia
perniagaan. Perniagaan yang diusahakan mestilah berlandaskan minat. Minat
terhadap sesuatu amat penting bagi melahirkan pemikiran yang kreatif dan kritis
dalam memajukan perniagaan. Usahawan perlu memikirkan sesuatu yang lain
daripada yang lain bagi menarik minat pelanggan. Idea serta kreativiti yang berbeza dari usahawan lain mampu menjana
pendapatan berlipat kali ganda seiring dengan servis dan produk yang menepati
citarasa pelanggan.
Kelemahan
serta kekurangan dalam sesuatu perniagaan merupakan lumrah dalam menjana
ekonomi diri. Tetapi jangan jadikan ia sebagai satu bebanan terhadap masalah
yang dihadapi, kerana kadang-kadang kita sendiri tidak sedar bahawa kelemahan
itu merupakan pengajaran yang kita perlu ambil untuk memperbaiki kelemahan
serta kekurangan dalam diri kita serta perniagaan kita. Contohnya, jikalau
lihat usahawan muda pada hari ini boleh dikatakan lebih cenderung dalam
perniagaan pakaian. Ada yang berjaya dan ada yang tidak berjaya. Ini kerana
yang berjaya itu adalah mereka yang sentiasa mencipta idea-idea yang menarik
dan fesyen-fesyen yang mengikut peredaraan masa terhadap produk mereka dan
mereka yang tidak berjaya, mereka hanya meniru produk orang lain tanpa memberi
idea-idea yang boleh mengembangkan perniagaan mereka.
Perkongsian
yang dikongsikan di dalam artikel ini bakal membuka mata usahawan muda cara
terbaik menjadi usahawan muda yang berjaya. Bagi mereka yang ingin memulakan
perniagaan, pasti tertanya-tanya perniagaan apakah yang boleh mereka lakukan ?
Bagaimana ingin memulakan perniagaan yang boleh mendatangkan keuntungan
berlipat kali ganda?
HOBI MEMBANTU MENJANA
PENDAPATAN
Ramai anak
muda mungkin tidak perasan bahawa daripada hobi juga boleh menjana pendapatan,
bukan sekadar pendapatan sampingan tetapi juga pendapatan tetap. Seperti yang
diperkatakan di atas, minat adalah penting dalam menjana perniagaan. Ini kerana
sesuatu perniagaan itu perlu datang daripada minat, diikuti dengan idea-idea
yang diluar dari kotak pemikiran kita dan menepati keinginan pelanggan kita.
Beberapa
contoh hobi yang boleh menjana pendapatan untuk mereka yang baru menceburi
bidang perniagaan. Antaranya, memasak dan membuat kek, menjahit, membaca dan menulis
blog, melancong dan lain-lain. Bagaimana dikatakan boleh menjana pendapatan
daripada hobi-hobi ini?
Bagi anak-anak
muda yang minat memasak dan membuat kek, peluang mereka sangat luas untuk
mengembangkan bakat masakan mereka.Daripada satu resepi yang sedia ada, mereka
boleh mencuba untuk mengubah resepi asal kepada yang lebih menarik. Cuba lihat
Restoran ‘Secret Recipe’, pada
awalnya mereka cuma menyediakan kek keju, tetapi idea yang sentiasa mereka
fikirkan maka terhasillah beberapa perisa kek keju, antara nya durian, teh
hijau dan macam-macam lagi. Pernahkah
anda terdengar greentea cheese cake
di mana-mana bakeri kecuali Secret Recipe
? Maka, apabila pelanggan teringinkan greentea
cheese cake maka terus bermain difikiran mereka bahawa Secret Recipe sahaja menyediakan kek itu. Jika usahawan itu berjaya
untuk menjaga, mengekalkan dan mempelbagaikan produk mereka, maka mereka telah
berjaya memenuhi keinginan pelanggan mereka.
Seterusnya,
melancong. Mesti ramai sedang berfikir bagaimana dengan melancong boleh menjana
pendapatan bukan? Kepada mereka yang suka melancong, pasti mereka akan belajar
dari awal lagi bagaimana ingin membeli tiket, pengurusan visa, pengurusan
ketika berada di luar negara. Kerana mereka yang kaki berjalan ini pasti tiada
masalah tentang tempat yang ingin dituju. Jadi, bagaimana yang dikatakan
menjana pendapatan? Pada hari ini, rakyat Malaysia mampu terbang ke luar negara
kerana promosi yang ditawarkan oleh pihak MAS, AirAsia, Fireflyz amatlah murah
dan berpatutan. Tetapi mereka hanya membeli tiket, bagaimana pula pengurusan
lain-lain seperti makan, hotel, pengangkutan di negara itu nanti? Jadi, bagi mereka yang minat melancong,
inilah adalah peluang emas untuk mereka memulakan perniagaan bagi pengurusan
pakej atau bahasa yang kerap digunakan “underground
package”. Pada hari ini, mereka
lebih memilih Underground package bagi
mengurangkan kos pelancongan mereka ke sesebuah negara. Antara
usahawan-usahawan muda yang telah berjaya dalam industri pelancongan yang hanya
menawarkan “underground package”
seperti Wenkt Vacation Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh Syazwan Zanini yang
merupakan seorang anak Melayu muda yang berjaya dalam servis “underground package”. Bermula daripada
minat dan hobinya melancong, sehinggalah sekarang menjadi pendapatan tetap
kepada beliau dalam industri pelancongan.
Menulis blog
juga boleh dijadikan ia sebagai pendapatan sampingan kepada usahawan muda.
Pengacara dan model sambilan, Hanis Zalikha memulakan kariernya daripada
menulis blog miliknya sendiri iaitu inibelogsaya.blogspot.com dan sekarang
beliau dikenali ramai. Seperti usahawan muda, mereka bukan setakat boleh
mempromosikan produk mereka malah juga boleh berkongsi cerita di blog mereka.
Lebih banyak penulisan yang ditulis, lebih ramai akan melayari blog berkenaan.
Daripada situlah datangnya pendapatan kepada usahawan. Seperti Nuffnang, mereka
sentiasa mencari blog yang aktif untuk mempromosikan iklan di ruang-ruang blog
berkenaan. Nuffnang akan membayar kepada penulis blog secara bulanan
berdasarkan berapa ramai yang membuka iklan di blog tersebut. Tidak kurang
hebatnya laman sesawang beautifulnara.com. Penulisnya kerap mengemaskini
cerita-cerita menarik dan isu-isu semasa. Ini membuatkan ramai pembaca memilih
laman webnya untuk membaca isu-isu semasa dan pada masa yang sama, melihat pelbagai promosi yang menarik di laman
web itu. Pendapatan bersih bagi seorang penulis blog yang hebat boleh mencecah
lima angka.
Menjahit juga
bukan sekadar satu pekerjaan tetapi ia juga merupakan hobi. Pereka-pereka
fesyen di Malaysia kebanyakannya bermula daripada minat terhadap jahitan dan
rekaan pakaian. Mereka mulakan karies dengan menjahit pakaian dan dari situlah
mereka memulakan karier sebagai pereka fesyen sehingga boleh terkenal seluruh
dunia. Asas jahitan amatlah penting bagi seseorang pereka fesyen kerana ia
menentukan kekemasan sepasang pakaian itu. Bagi usahawan muda yang mempunyai
hobi menjahit, ini adalah perniagaan yang baik untuk mereka. Bermula dengan
mengambil tempahan menjahit pakaian yang mudah, menjahit manik, daripada situ
mereka boleh untuk memulakan perniagaan dalam bidang pakaian dan jahitan.
IDEA YANG BERNAS
MENGHASILKAN BARANGAN YANG BERKUALITI
Itu adalah
antara contoh-contoh hobi yang boleh dijadikan perniagaan bagi anak muda hari
ini. Apabila ia menjadi minat, tidak kiralah perniagaan apa sekalipun ia pasti
mampu menarik pembeli yang ramai dan ia akan menjadi lebih menarik lagi jika
idea-idea yang asal dapat dikembangkan menjadi lain daripada yang lain. Tidak
dinafikan, di awal perniagaan pasti akan mendapat kritikan dan komen-komen
negatif, tetapi jika mereka yakin dengan perniagaan yang mereka jalankan,
teruskan perniagaan dan jadikan kritikan itu sebagai sebahagian pembaik pulih
perniagaan. Usahawan muda perlu sentiasa memikirkan idea-idea yang mungkin
pelik tetapi menarik kerana ia mungkin membuahkan hasil di luar jangkaan.
Tetapi jika kritikan hebat yang
diterima, sekurang-kurangnya ia membantu untuk dijadikan sebagai satu inspirasi
kepada usahawan itu sendiri.
CABARAN DAN RINTANGAN
ADALAH CABARAN
Di dalam perniagaan, terlalu banyak cabaran dan rintangan.
Bagi usahawan yang baru berjinak-jinak di dalam perniagaan, sentiasa memandang
ke hadapan. Risiko sentiasa wujud di mana sahaja, untung dan rugi juga
merupakan perkara normal di dalam pernigaan. Anak-anak muda yang baru mencorak
perniagaan, adalah penting untuk sentiasa bersiap sedia dengan sebarang
kemungkinan, kesan-kesan yang timbul, serta risiko yang bakal mereka hadapi. Paling
penting adalah usahawan-usahawan muda janganlah tergopoh-gopoh dalam mencari
keuntungan.
PROMOSI DAN PENGIKLANAN
ASAS UTAMA
Promosi dan pengiklanan adalah elemen penting dalam sesuatu
perniagaan. Impak terhadap iklan dan promosi mampu menarik lebih ramai
pelanggan untuk membeli. Bagi usahawan muda, mereka pasti akan berasa sukar
kerana masih baru di dalam dunia perniagaan jika dibandingkan dengan
usahawan-usahawan yang telah lama bertapak.
Tetapi sebenarnya itu hanya satu alasan. Setiap manusia diberi daya
kreativiti yang tersendiri bagi mencipta sesuatu yang luar biasa. Iklan yang
mampu menarik minat untuk membeli perlulah setara dengan produk yang
diiklankan. Penipuan di dalam pengiklanan akan membawa kerugian yang besar
terhadap perniagaan.
Dunia
semakin canggih. Pelbagai medium pengiklanan boleh digunalkan seperti
‘Facebook’, ‘Twitter’, dan juga lama sesawang seperti mudah.my, lazada.com.my
dan pelbagai lagi. Walaupun usahawan muda masih lagi baru, tetpi jika mereka
benar-benar kreatif dalam mengiklankan produk mereka, tiada yang mustahil untuk
perniagaan mereka berkembang maju.
PENUTUP
Kesimpulannya,
setiap anak muda pada hari ini mampu berdaya saing seiring dengan pembangunan
negara. Setiap elemen-elemen penting di dalam perniagaan perlu diaplikasikan
agar perniagaan yang dijalankan berada di landasan yang tepat. Minat adalah
sangat penting di dalam perniagaan. Apabila datangnya minat, maka kecenderungan
untuk berfikir secara kreatif dan kritis juga sangat mudah. Kejayaan adalah
bukan satu destinasi tetapi ia adalah perjalanan yang tiada peghujung. Semakin
jauh kita berjalan, semakin banyak ilmu yang kita akan timba.
“Tiada manusia yang berjaya dalam semua yang dilakukannya dan kewujudan
kita ini sebenarnya mesti menempuh kegagalan. Yang penting ialah kita tidak
menjadi lemah semasa kegagalan itu terjadi dan kekalkan usaha hingga ke akhir
hayat.”
- Joseph Conrad
- Joseph Conrad
No comments:
Post a Comment