Monday, April 8, 2013

SOLAT SUNAT MUSAFIR

Setiap orang yang ingin melakukan perjalanan atau bermusafir dengan tujuan yang baik dan dituntut oleh Islam seperti bermusafir kerana menuntut ilmu, melaksanakan sesuatu urusan keagamaan seperti mengerjakan Ibadat Haji, menziarahi keluarga, kenalan atau mencari rezeki yang halal untuk memenuhi keperluan keluarganya, mereka tergolong di kalangan orang-orang yang menempuh perjalanan yang diredhai Allah, atau dikira beribadat kepada Allah S.W.T . Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

" Barangsiapa yang bermusafir kerana menuntut ilmu pengetahuan, maka ia adalah dalam perjalanan Allah, sehinggalah ia kembali ".

PANDUAN BERMUSAFIR

NIAT

Hendaklah niat bermusafir dengan tujuan melaksanakan sesuatu hal yang baik semoga sentiasa diberkati oleh Allah. Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud:
" Tidak seorang pun yang keluar dari rumahnya kecuali ada dua panji-panji, salah satu di antaranya berada di tangan malaikat sedang yang lainnya di tangan syaitan. Maka jika keluarnya itu untuk sesuatu urusan yang disukai Allah S.W.T, ia akan diringi oleh malaikat dengan panji-panjinya. Demikianlah ia akan selalu berada di bawah panji-panji malaikat sampai ia kembali ke rumahnya. Sebaliknya jika keluarnya itu untuk sesuatu hal yang dimurkai Allah, maka orang itu akan diiringi oleh syaitan dengan panji-panjinya. Dan demikianlah ia akan selalu di bawah panji- panji syaitan sampai ia pulang kembali ke rumahnya ".
( Riwayat Ahmad dan Tabrani )

SEMBAHYANG SUNAT MUSAFIR


Sunat melakukan sembahyang sunat musafir sebelum berangkat. Cara-cara sembahyang sunat musafir.
1. Lafaz niat ketika takbiratul ihram ialah seperti berikut :
" Sahaja aku sembahyang sunat musafir dua rakaat kerana Allah "
2. Pada rakaat yg pertama selepas membaca Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun
3. Pada rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas.
4. Selepas salam berdoalah meminta agar Allah memberikan keselamatan, kemudahan serta memberkati perjalanan yang hendak dilakukan

SUNAT-SUNAT MUSAFIR

1. Sunat memulakan musafir pada hari Khamis.. Diriwayatkan oleh Bukhari:
" Bahawa Rasulullah S.A.W jika ia bermusafir, jarang ia berangkat bukan pada hari Khamis "
2. Sunat membawa teman ketika bermusafir. dari Ibnu Umar r.a:
"Bahawa Rasulullah S.A.W melarang bersendiri, ertinya bila seseorang itu menginap atau bermusafir seorang diri ". ( Riwayat Ahmad )
Baginda juga selalu membawa barang-barang berikut semasa bermusafir iaitu sebotol minyak, sikat rambut, celak, gunting, kayu sugi dan cermin.
3. Sunat meminta kaum keluarga atau sahabat yang ditinggalkan memohon supaya bertawakkal      kepada  Allah supaya mendoakan keselamatan kita dalam perjalanan dan musafir.
4. Sunat berdoa ketika keluar berangkat dari rumah.
" Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah dan tiada daya maupun tenaga kecuali     dengan izin Allah "
5. Jika bermusafir dengan menaiki kenderaan maka sunat pula berdoa :
" Segala puji bagi Allah, maha Suci Allah yang telah menjinakkan( memudahkan ) bagi kami kenderaan ini, padahal sebelumnya kami takkan mampu menguasainya dan sungguh kami nanti akan pulang kembali kepada Tuhan kami ".

No comments:

Post a Comment