Saturday, September 18, 2010

Kelebihan Solat Hajat

Dari ‘Abdillah ibn Abi Aufa meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, Barangsiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada seseorang makhluqNya, maka hendaklah dia berwudhu’ dengan mengelokkan-wudhu’nya dan bersolat dua raka’at, dan kemudiannya memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah SAW lalu hendaklah dia membaca do’a ini. La Ilaha Illallah al-Halim al-Karim, SubhanAllah rabb al-’Arsh al-’Adzim(du’a ini tidak disalin semua) – Hadith 148 Mastika Hadis Jilid 2

Sungguhpun hadis ini hadis daif, tetapi ia disokong oleh hadis sahih yang berikut

Hadis 149 Mastika Hadis Jilid 2:

Dari Abi Ad-Darda’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang berwudhu’ lalu diperelokkan wudhu’nya, kemudian dia menunaikan solat 2 raka’at dengan sempurna, nescaya Allah memberikan apa yang dimintanya, sama ada cepat atau lambat (Hadis Sahih Riwayat Imam Ahmad)

Disokong juga oleh hadis sahih yang berikut:-

Hadis 150 Mastika Hadis Jilid 2:

Dari ‘Uthman bin Hunaif RA, bahawa telah datang kepada Rasulullah SAW seorang yang buta matanya seraya berkata, “Ya Rasulallah! Doakan kepada Allah untuk saya supaya Dia menyembuhkan saya” Rasulullah SAW bersabda, “jika engkau mahu, (doakan segera) maka akan aku doakan untukmu dan jika kamu mahu kamu boleh bersabar dan ianya (bersabar) lebih baik bagi kamu.” Lelaki itu menjawab, “Doakanlah” Maka Rasulullah SAW menyuruhnya supaya berwudhu’ dengan elok lalu bersolat dua raka’at dan berdoa dengan doa ini, “Allahumma Inni asaluKa wa atawajjahu ilaika binabiyyika Muhammad Nabiy ar-rahmah. Inni tawajjahtu bika ila rabbi fi hajati hazihi lituqdha liyy. Allahumma fashaffi’hu fiya

Hadis ini juga menjadi dalil harus bertawassul. Minta dengan Allah, bukan dengan wali, cuma wasilah melalui doa orang yang soleh. Amalan yang baik juga menjadi wasilah.

Kaedah Doa Nabi Yunus

Dalam hadis yang lain Nabi bersabda, siapa yang ada hajat, solatlah dan baca doa Nabi Yunus (selama 40 hari):

لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنتَ ، سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
“Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” (Surah Anbiya ayat 87)

Dalam hadis yang lain, bila ada hajat, solatlah 2 rakaat dan sujud (luar solat) serta bacalah doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali. Doa Nabi Yunus ini adalah ayat quran, maka hendaklah sujud diluar solat kerana ada larangan membaca ayat quran di dalam sujud semasa dalam sembahyang.

Dari Ali bin Abi Thalib katanya “Aku dilarang Rasulullah s.a.w. membaca Quran dalam rukuk dan sujud (Riwayat Muslim)

Galakkan sembahyang sunat di rumah:-

Hadis 151 Mastika Hadis Jilid 2:

Dari Umar Bin Al-Khattab r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda Sembahyang sunat yang dikerjakan oleh seseorang dirumahnya; menjadi Nur (cahaya) yang meneranginya; oleh itu, sesiapa yang suka (mendapat kelebihan itu), hendaklah ia menerangi rumahnya (dengan sembahyang sunat)

Dalam hadis lain menjelaskan: Solatlah kamu dirumah-rumah kamu dan jangan jadikan ia sebagai kubur-kubur.“(Riwayat Ahmad) Ia bermaksud rumah-rumah yang tidak didirikan lansung solat di dalamnya menjadi sepi seumpama kubur.

Hadis 152 Mastika Hadis Jilid 2:

Dari Jabir r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila kamu telah menunaikan solat (wajib) di masjid, maka kerjakanlah pula solat (sunat) di rumah kerana dengan itu Allah akan menjadikan rumah itu bahagia.”

No comments:

Post a Comment