Sunday, July 4, 2010

Kisah Nabi Soleh a.s

Berlalulah hari demi hari. Lahirlah sebahagian anak kecil dan matilah sebahagian yang lain. Setelah kaum ’Ad, datanglah kaum Tsamud. Lagi-lagi azab berulang kepada kaum Tsamud dalam bentuk yang lain. Kaum Tsamud juga menyembah berhala. Kemudian Allah mengutuskan Nabi Soleh A.S kepada mereka.

Nabi Soleh A.S berkata kepada kaumnya:

”Wahai kaumku, sembahlah Allah yang tiada Tuhan lain bagi kalian selainNya.” (Hud: 61)

Kalimat yang sama disampaikan oleh setiap Nabi dan kalimat tersebut tidak pernah berubah sebagaimana kebenaran tidak pernah berubah. Para pembesar kaum Nabi Soleh A.S terkejut dengan apa yang dikatakannya. Beliau menyatakan bahawa tuhan mereka tidak memiliki nilai yang bererti. Beliau melarang mereka untuk menyembahnya dan memerintahkan mereka hanya menyembah Allah S.W.T.

Dakwah Nabi Soleh cukup menggemparkan masyarakat. Nabi Soleh A.S terkenal dengan kejujuran dan kebaikan. Kaumnya sangat menghormatinya sebelum Allah S.W.T mengutusnya dan memberikan wahyu padanya untuk berdakwah kepada mereka.

Kaum Nabi Soleh A.S berkata:

”Hai Soleh, sesungguhnya kamu sebelum ini adalah seorang di antara kami yang kami harapkan. Apakah kamu melarang kami untuk menyembah apa yang disembah oleh bapa-bapa kami? Dan sesungguhnya kami betul-betul dalam keraguan yang menggelisahkan terhadap agama yang kamu serukan kepada kami.” (Hud: 62)

Renungkanlah bagaimana pandangan orang-orang kafir dari kaum Nabi Soleh A.S. ”Sesungguhnya engkau sangat kami harapkan kerana keluasan ilmumu kematangan akalmu, kejujuranmu dan kebaikanmu. Kemudian hilanglah harapan kami terhadapmu. Apakah engkau akan melarang kami untuk menyembah apa yang disembah oleh datuk-datuk kami. Alangkah celakanya! Kami tidak berharap engkau mencela tuhan-tuhan kami, yang kami dapati orang tua-orang tua kami menyembahnya.’’

Demikianlah kaum Nabi Soleh A.S merasa bingung di hadapan kebenaran dan mereka hairan terhadap saudara mereka, Soleh yang mengajak mereka untuk menyembah Allah S.W.T. Mengapa? Kerana mereka tidak memiliki alasan dan pemikiran yang benar. Mereka hanya beralasan bahawa datuk-datuk mereka menyembah tuhan-tuhan ini.

Demikianlah anggapan yang menyebabkan manusia terjerumus dalam kesesatan. Nabi Soleh A.S datang untuk menghilangkan taklid buta ini. Aqidah tauhid disebarkan sebagai dakwah untuk membebaskan fikiran dari segala belenggu, iaitu suatu dakwah yang membebaskan akal manusia dari belenggu taklid, khurafat, mitos orang-orang terdahulu dan khayalan tradisi yang kuat. Inilah dakwah tauhid yang menyuarakan kebebasan akal dan segala bentuk kebebasan lainnya.

Dakwah tersebut tidak akan ditentang kecuali oleh orang-orang yang akalnya terpasung oleh pemikiran orang-orang terdahulu dan khayalan orang-orang tua. Meskipun dakwah Nabi Soleh A.S disampaikan dengan penuh ketulusan, namun kaumnya tidak mempercayainya. Malah mereka meragukan dakwahnya. Mereka mengira bahawa Nabi Soleh A.S ahli sihir. Mereka meminta kepadanya agar mendatangkan mukjizat yang membuktikan bahawa dia memang utusan Allah S.W.T. Begitupun, Allah S.W.T berkehendak untuk memakbulkan permintaan mereka. Kaum Tsamud mengukir rumah-rumah besar dari gunung. Mereka menggunakan batubatu besar untuk membangun. Mereka adalah orang-orang yang kuat dan Allah S.W.T membuka pintu rezeki bagi mereka dari segala hal. Mereka datang setelah kaum ’Ad lalu mereka tinggal di bumi dan memakmurkannya.

Nabi Soleh A.S berkata kepada kaumnya ketika mereka meminta diperlihatkan mukjizatnya:

”Hai kaumku, inilah unta betina dari Allah sebagai mukjizat (yang menunjukkan kebenaran) untukmu. Sebab itu biarkanlah dia makan di bumi Allah dan janganlah kamu mengganggunya dengan gangguan apapun yang akan menyebabkan kamu ditimpa azab yang dekat.” (Hud: 64)

Maksud ayat dalam surah tersebut adalah mukjizat. Diriwayatkan bahawa unta itu merupakan mukjizat. Ini kerana, pada suatu hari batu gunung terpecah dan keluar unta darinya. Kemudian di belakangnya keluar anaknya yang kecil. Ia lahir melalui cara yang ajaib dalam proses kelahiran.

Diriwayatkan juga bahawa ia merupakan mukjizat kerana minum air yang terdapat di sumur-sumur pada suatu hari, lalu binatang-binatang lain tidak berani mendekati air itu pada hari tersebut. Ada riwayat lain mengatakan bahawa ia merupakan mukjizat kerana mengeluarkan susu yang mencukupi untuk diminum oleh seluruh manusia, di hari ia minum seluruh air sehingga tidak ada sedikit pun yang tersisa darinya.

Unta itu merupakan mukjizat di mana Allah S.W.T menyifatkannya dengan sebutan naqatullah (unta Allah). Itu bererti bahawa unta tersebut bukan unta biasa tetapi merupakkan mukjizat dari Allah S.W.T. Allah S.W.T menurunkan perintah kepada Nabi Soleh A.S agar beliau melarang kaumnya untuk mengganggu atau membunuh untanya. Beliau memerintahkan mereka untuk membiarkannya, makan di bumi Allah S.W.T dan tidak menyakitinya. Beliau mengingatkan mereka bahawa ketika mereka cuba untuk mengganggunya, maka mereka akan mendapatkan seksaan dalam waktu terdekat.

Mula-mula kaum Tsamud sangat hairan ketika melihat unta lahir dari bebatuan gunung. Ia adalah unta yang diberkati di mana susunya cukup untuk ribuan manusia. Jika unta itu tidur di suatu tempat, maka binatang-binatang lain akan menjauhinya. Jelas sekali ia bukan unta biasa, namun ia merupakan tanda-tanda kebesaran dari Allah S.W.T. Unta itu hidup di tengah-tengah kaum Nabi Soleh A.S. Berimanlah orang-orang yang beriman di antara mereka dan sebahagian besar mereka tetap berada dalam penentangan dan kekafiran.

Kebencian terhadap Nabi Soleh A.S berubah menjadi kebencian kepada unta yang diberkati itu. Mulalah mereka membuat persekongkolan untuk menghapuskan unta itu. Orang-orang kafir sangat membenci mukjizat yang agung itu dan mereka membuat rancangan jahat untuk melenyapkannya. Sebagaimana biasanya, para tokoh-tokoh kaumnya berkumpul untuk membuat onar.

Allah S.W.T berfirman:

”Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum Tsamud saudara mereka, Soleh. Dia berkata: ”Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selainNya. Sesungguhnya telah datang bukti yang nyata kepadamu dari Tuhanmu. Unta betina Allah ini menjadi tanda bagimu. Maka biarkanlah dia makan di bumi Allah, dan janganlah kamu mengganggunya dengan gangguan apapun (yang kerananya) kamu akan ditimpa seksaan yang pedih. Dan ingatlah olehmu d, waktu Tuhan menjadikan kamu pengganti-pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum ’Ad dan memberikan tempat bagimu di bumi. Kamu dirikan istana-istana d, tanah-tanahnya yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah. Maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu bermaharajalela di muka bumi dengan membuat kerosakan.” Pemuka-pemuka (pembesar) yang menyombongkan diri di antara kaumnya berkata kepada orang-orang yang dianggap lemah yang telah beriman di antara mereka: ”Tahukah kamu bahawa Soleh diutus (menjadi Rasul) oleh Tuhannya?” Mereka menjawab: Sesungguhnya kami beriman kepada wahyu yang Soleh diutus untuk menyampaikannya.” Orang-orang yang menyombongkan diri berkata: ”Sesungguhnya kami adalah orang yang tidak percaya kepada apa yang kamu imani itu.” (Al-A’raf: 73-76)

Nabi Soleh A.S menyeru kaumnya dengan penuh kasih sayang dan cinta. Dia mengajak mereka untuk hanya menyembah Allah S.W.T dan mengingatkan mereka bahawa Allah S.W.T telah mengeluarkan mukjizat bagi mereka, iaitu unta. Mukjizat itu sebagai bukti akan kebenaran dakwahnya. Dia memohon kepada mereka agar membiarkan unta itu makan dari hasil bumi dan setiap pelosok bumi adalah milik Allah S.W.T. Beliau juga mengingatkan mereka agar jangan sampai mengganggunya kerana dikhuatiri akan mendatangkan azab bagi mereka. Bahkan beliau mengingatkan mereka dengan nikmat-nikmat Allah S.W.T yang turun kepada mereka. Bagaimana Allah S.W.T menjadikan mereka penguasa-penguasa yang datang setelah kaum ’Ad. Dia memberi mereka istana dan gunung-gunung yang berukir serta pelbagai kenikmatan dan kekuatan.

Demikianlah yang dilakukan oleh Nabi Soleh A.S namun kaumnya menjawab dengan jawapan yang aneh. Mereka tidak menghiraukan nasihat Nabi mereka. Mereka menemui orang-orang yang beriman kepada Nabi Soleh A.S. Mereka bertanya dengan pertanyaan yang bertujuan untuk merendahkan dan mengejek: ”Apakah kalian mengetahui bahawa Soleh seorang yang diutus dari Tuhannya?”

Pertanyaan ini tidak wajar dikemukakan setelah mereka melihat mukjizat unta. Apa yang jelas, mereka merendahkan pengikut Nabi Soleh A.S dan mengejeknya.

Segolongan kecil yang beriman kepada Nabi Soleh A.S berkata: ”Sesungguhnya kami percaya dengan apa yang dibawa oleh Nabi Soleh A.S.”

Perhatikanlah jawapan orang-orang mukmin. Jawapan tersebut sangat bertentangan dengan jawapan para pembesar dari kaum Nabi Soleh A.S. Para pembesar itu meragukan kenabian Soleh A.S manakala orang-orang mukmin itu menegaskan kepercayaan mereka terhadap kebenaran yang dibawa oleh Nabi Soleh».

Kebenaran yang dibawa oleh Nabi Soleh tidak berhubungan dengan unta itu, namun berhubungan dengan dakwah dan ajarannya. Mereka mengatakan bahawa mereka mengimani apa yang dibawa oleh Nabi Soleh A.S Mereka tidak mengatakan beriman kepada untanya. Mereka tidak mengatakan bahawa unta itu yang menetapkan kenabian Soleh A.s. Orang-orang mukmin lebih memerhatikan kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi Soleh A.S, bukan memerhatikan mukjizat yang luar biasa itu. Melalui percakapan tersebut kita dapat melihat sikap orang orang kafir di mana mereka merasa mulia dengan penentangan terhadap kebenaran.

Orang-orang yang menyombongkan diri berkata: ”Sesungguhnya kami adalah orang yang tidak percaya kepada apa yang kamu imani itu.”.

Demikianlah penghinaan, kesombongan dan kemarahan mereka. Rasa-rasanya adalah sia-sia untuk mencari dalil yang dapat memuaskan orang-orang kafir bila bercakap-cakap dengan mereka. Mereka selalu menolak kebenaran, padahal mereka orang-orang yang merdeka dalam memilih kebenaran itu.

Malam mulai menyelimuti kota Tsamud. Gunung-ganang yang kukuh menjulang melindungi rumah-rumah yang terukir di dalamnya. Dinyalakanlah lampu-lampu dalam istana yang terukir di gunung itu. Gelas-gelas minuman diputarkan d antara mereka. Tidak ada seorang pun dari tokoh-tokoh kaum yang tidak hadir d pertemuan penting itu. Bermulalah acara pertemuan dan terjadilah percakapan.

Salah seorang kafir berkata:

”Bagaimana kita akan mengikuti saja seorang manusia (biasa) di antara kita. Sesungguhnya kalau kita begitu, benar-benar dalam keadaan sesat dan gila.’ (Al-Qamar: 24)

Sementara yang lain pula, menjawab:

”Apakah wahyu itu diturunkan kepadanya di antara kita? Sebenarnya dia adalah seorang yang amat pendusta lagi sombong.” (Al-Qamar: 25)

Gelas-gelas minuman kembali diputar di antara mereka dan pemicaraan beralih dari Soleh ke unta Allah S.W.T. Salah seorang kafir berkata: ”Jika datang musin panas, maka unta itu mendatangi lembah yang dingin sehingga binatang-binatang ternak yang lain lari darinya dan kepanasan.”

Seorang kafir lain berkata: ”Jika datang musim dingin, unta itu mencari tempa hangat. Lalu ia istirehat di situ sehingga binatang-binatang ternak kita lari darinya dan menuju tempat yang dingin sehingga diancam kematian.”

Gelas-gelas minuman kembali diputar dan bergoyang di tangan orang-orang yang meminumnya. Salah seorang memerintahkan agar perempuan penyanyi berhenti menyanyi kerana dia sedang berfikir. Kemudian kesunyian menghantui segala penjuru. Orang itu mulai berfikir sambil minum dua gelas arak. Lalu dengan suara perlahan dia berkata: ”Hanya ada satu cara.”

Orang-orang yang duduk di sekitarnya bertanya: ”Bagaimana jalan keluarnya?”

Tokoh mereka berkata: ”Kita harus melenyapkan Soleh dari jalan kita. Maksudku adalah untanya. Kita harus membunuh untanya dan setelah itu kita akan membunuh Soleh.”

Begitulah cara yang dilakukan orang-orang kafir sepanjang sejarah. Demikianlah senjata yang digunakan oleh mereka dalam menghadapi kebenaran. Mereka tidak menggunakan akal waras atau hujah, tetapi menggunakan kekuatan fizikal. Bagi mereka, ini adalah cara yang paling aman. Pembunuhan akan menyelesaikan masalah.

N’amun salah seorang di antara mereka berkata: ”Bukankah Soleh mengingatkan kita akan azab yang keras jika kita menyakiti unta itu.”

Bagaimanapun, orang-orang yang duduk di majlis itu segera memadamkan suara orrang itu dengan dua gelas arak.

Kemudian percakapan dilanjutkan tentang Nabi Soleh A.S. ”Berapa kali kita putus asa dan kecewa olehnya. Sebaik-baik jalan adalah membunuhnya. Mula-mula kita membunuh untanya. Setelah itu kita akan membunuh Soleh. Namun, siapa gerangan yang berani membunuhnya?”

Pertanyaan itu mencetuskan keheningan di antara mereka. Setelah beberapa ketika, salah seorang dari mereka mengangkat suara: ”Aku mengenali seseorang yang dapat membunuhnya.”

Lalu nama demi nama berputar di antara mereka sehingga mereka menyebut seorang penjahat yang selalu membuat kerosakan di muka bumi dan dia suka mabuk. Dia juga mempunyai kelompok penjahat di kota.

Dan di kota itu ada sembilan orang lelaki yang membuat kerosakan di muka bumi dan mereka tidak berbuat kebaikan.” (An-Naml: 48)

Mereka adalah alat-alat kejahatan. Mereka adalah penjahat-penjahat kota yang terkenal. Mereka sepakat untuk melaksanakan kejahatan. Kegelapan semakin menyelimuti gunung. Kemudian datanglah malam tragedi. Unta yang diberkati itu sedang tidur dan mendakap anaknya yang kecil di dadanya. Anaknya yang kecil itu merasa kedinginan dan mendapat kehangatan di sisi ibunya. Sembilan orang penjahat tersebut telah menyiapkan senjata mereka. Mereka keluar di kegelapan malam dan pemimpin mereka banyak minum arak sehingga dia hampir tidak melihat apa yang ada di hadapannya.

”Maka mereka memanggil kawannya, lalu kawannya menangkap (unta itu) dan membunuhnya.” (Al-Qamar: 29)

Sembilan lelaki menyerang unta itu. Lalu ia bangkit dan bangunlah anaknya dalam keadaan takut. Akhiranya, darah unta itu terpancut dan anaknya pun terbunuh. Nabi Soleh A.S mengetahui apa yang terjadi, lalu beliau keluar dalam keadaan marah untuk menemui kaumnya. Beliau berkata kepada mereka ”Bukankah aku telah mengingatkan agar kalian jangan mengganggu unta itu.”

Mereka menjawab: ”Kami memang telah membunuhnya, maka datangkanlah seksaan kepada kami jika engkau mampu. Bukankah engkau berkata bahawa engkau termasuk utusan Tuhan?”

Nabi berkata kepada kaumnya: ”Bersukarialah kamu sekalian di rumah selama tiga hari. Itu adalah janji yang tidak dapat didustakan.” (Hud: 65)

Setelah itu, Nabi Soleh A.S meninggalkan kaumnya. Kemudian datanglah janji Allah S.W.T untuk menghancurkan mereka setelah tiga hari. Berlalulah tiga hari seksaan atas orang-orang kafir dan mereka menunggu-nunggu azab yang datang Maka pada hari keempat langit terpecah melalui tempikan yang kuat di mana tempikan itu menghancurkan gunung dan membinasakan segala yang ada d dalamnya. Kemudian bumi bergoncang dan menghancurkan apa saja yang terdapat di atasnya. Itu cuma satu tempikan saja yang membuat kaum Nabi Soleh A.S hancur berantakan.

Allah S.W.T berfirman:

”Sesungguhnya Kami akan mengirimkan unta betina sebagai cubaan bagi mereka, maka tunggulah (tindakan) mereka dan bersabarlah. Dan beritakanla kepada mereka bahawa sesungguhnya air itu terbahagi antara mereka (dengan unta betina itu) tiap-tiap giliran minum dihadiri (oleh yang punya giliran). Maka mereka memanggil kawannya, lalu kawannya menangkap (unta itu) dan membunuhnya. Alangkah dahsyatnya azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku Sesungguhnya Kami menimpakan atas mereka satu suara yang keras mengguntur, maka jadilah mereka seperti rumput-rumput kering (yang dikumpulkan oleh) yang punya kandang binatang.” (Al-Qamar: 27-31)

Mereka semuanya hancur sebelum mengetahui apa yang terjadi. Manakala orang:orang yang beriman bersama Nabi Soleh A.S , telah meninggalkan tempat tersebut sehingga mereka selamat atas kehendak Allah S.W.T.

No comments:

Post a Comment