Thursday, May 21, 2009

Wednesday, May 20, 2009

بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيم
"Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui" sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya" Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan

Friday, May 15, 2009

Membetulkan Niat Menuntut Ilmu

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya :

“Daripada Ka’ab bin Malik r.a, katanya : Aku mendengar RasululLah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah daripada Ibn ‘Umar, al-Hakim daripada Jabir bin ‘Abdillah. Al-Hakim mensahehkannya dan disetujui oleh al-Zahabi. Lihat : Al-Mustadrak 1/272, cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut. Ada perselisihan dalam menentukan kedudukan hadith ini, namun hadith ini mempunyai syahid (pembuktian daripada riwayat lain) yang menjadikannya pada darjah sahih.)

Tujuan menuntut ilmu agama adalah untuk keluar dari kejahilan demi mencari kebenaran dan berpegang kepadanya. Juga untuk menegakkan kebenaran dan membelanya. demikian tugasan dan tanggungjawab taalib al-‘Ilm dan ulama’ (ahl al-‘Ilm). Menuntut ilmu adalah ibadah dan ianya membawa insane muslim ke syurga.

Namun ada di kalangan manusia golongan yang ingin bermegah-megah dengan ilmu agamanya, bukan untuk kebenaran tetapi sekadar untuk menaikan diri dan kedudukannya sahaja. Dalam hadith ini disebut tiga niat buruk yang menyebabkan penuntut ilmu agama dihumban ke dalam neraka.

Pertama : Liyujaariya bihi al-‘Ulama’ – iaitu untuk bersaing dengan ulama. Kata al-Imam Ibn Athir (wafat 606H) : “maksudnya ialah untuk dia bersama ulama di dalam perbahasan dan perdebatan bagi menzahirkan ilmunya kepada orang ramai dengan tujuan riya’ dan sum’ah (inginkan kemasyhuran). (Ibn al-Athir, al-Nihayah fi gharib al-Hadith wa al-Athar, 1/256, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut.)

Turut berbincang dan berbahas dalam majlis ulama atau dengan para ulama bukanlah satu kesalahan. Apatah lagi jika seseorang itu bernar-benar berkemampuan. Islam menggalakkan kebangkitan ilmu dan generasi intektual yang baru.

Islam mengalu-alukan ijtihad yang baik dan memenuhi tuntutan. Namun yang salah ialah pada niatnya yang ingin menjadikan ilmu sebagai jambatan kesombongan dan ketakburan. Ilmu yang sepatutnya membawa dirinya kepada syukur dan insaf dijadikan sebagai punca sikap bangga diri dan menunjuk-nunjuk.

Kesan niat yang sangat buruk sangat bahaya; orang yang seperti ini hanya mementingkan dirinya sahaja bukan kebenaran fakta. Dia hanya ingin menegakkan hujahnya untuk menaikkan namanya bukan untuk kebenaran yang Allah redhai. Jika dia melihat kebenaran di pihak lain dia akan menolak dan mencari dalih yang baru demi menjaga kemasyhuran namanya. Maka tempat orang seperti ini di dalam neraka.

Kata al-Imam al-Tibi (wafat 743H) : “Maksud hadith ini ialah dia tidak menuntut ilmu kerana Allah, sebaliknya untuk dia berkata kepada para ulama : “aku ini berilmu seperti kamu”, kemudiannya dia takabur dan meninggikan diri pada orang ramai. Ini semuanya (sifat) yang tercela dan azab siksa akan dikenakan kepadanya.” (Al-Tibi, Syarh al-Tibi ‘ala al-Miskah al-Masabih, 1/420, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut.)

Kedua : Liyumaariya bihi as-Sufahaa’ – untuk bertengkar dengan orang jahil. Kata Imam al-Munawi (meninggal 1031H) : “Maksudnya ialah untuk dia berhujjah dan bertengkar dengan mereka secara sombong dan membanggakan diri.” (Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 6/176, cetakan al-Maktabah al-Tijariyah al-kubra, Mesir)

Niat buruk kedua dalam menuntut ilmu agama ialah menuntut ilmu dengan tujuan untuk bertengkar dengan orang yang jahil kerana ingin menunjukkan kehebatannya. Sedangkan antara tujuan ilmu ialah untuk menyelamatkan orang jahil agar menemui kebenaran. Ini kerana akal golongan yang jahil sangat terhad dan memerlukan bimbingan. Namun ada golongan yang menuntut ilmu untuk bertengkar dengan golongan jahil ini dan menunjukkan kehebatannya kepada mereka. Orang jahil yang terhad ilmu dan akalnya pasti menyangka dia hebat. Mungkin hal ini tidak dapat dilakukan di hadapan ulama maka dia mencari ruang di kalangan orang jahil.

Sebenarnya berbahas, atau berhujjah, atau berdebat itu sendiri bukanlah perkara yang terlarang dalam syariat, tetapi ianya mestilah dengan cara yang baik dan membawa kesan yang positif. Bukan untuk kesombongan dan ketakburan tetapi untuk membimbing manusia kembali kepada hidayah. Firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud : “Serulah ke jalan tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan ) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya tuhan mu Dia lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lebih mengetahui siapa yang mendapat hidayah petunjuk.”

Kata al-Tibi : “Maksud : berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik ialah dengan cara yang terbaik dalam perdebatan, iaitu dengan lunak dan berlemah lembut tanpa bersikap kasar dan keras. Ini kerana golongan yang jahil itu kurang pertimbangannya.” (Al-Tibi, op.cit. 1/420.)

Ketiga : Yasrifa bihi wujuuha an-Naasi ilaihi – agar dengan ilmu tersebut wajah orang ramai tertumpu kepadanya. Ini niat buruk yang ketiga iaitu menuntut ilmu agar mendapat habuan, harta dan pangkat. Dia menjadikan pengetahuan agama untuk mencari popularity atau mendapat kedudukan dan jawatan. Menjadikan orang ramai tertarik kepadanya. Orang yang seperti ini sebenarnya bersedia untuk menjual agamanya untuk habuan dunia yang dia buru.

Kesalahannya bukan kerana dia mendapat habuan dunia atau kemasyhuran tetapi niatnya yang memburu dunia dengan mempergunakan agama itu adalah suatu kesalahan.

Jika menjelmanya tiga niat buruk ini dalam jiwa pemegang amanah ilmu maka ilmu tidak lagi menjadi cahaya yang menerangi kegelapan, sebaliknya ilmu akan dijadikan jualan untuk mendapatkan habuan. Oleh itu Nabi s.a.w. menjanjikan tiga niat buruk ini dengan neraka. Dalam hadith yang lain baginda menyebut : maksudnya :

“Daripada Abu Hurairah ; Sabda RasululLah s.a.w. : “ Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari redha Allah Azza wa Jalla, tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat.” (riwayat Abu Daud dan Ibn Majah. Al-Nawawi mensahihkannya dalam Riyadh al-Solihin – lihat Ibn ‘Allan, Dalil al-Falihin, 4/191 cetakan Dar al-Fikr, Beirut)

Pengajaran Semasa

  1. Semua para penuntut ilmu syarak pada zaman ini disemua peringkat hendaklah membersihkan niat asal mereka dalam menuntut ilmu. Jika golongan ilmuan Islam dapat dipulihkan niat mereka agar bersih dan mencari redha Allah s.w.t. pastinya Islam akan terbela dan setiap yang mempermain-mainkannya akan terjawab.
  1. Kemunculan individu dan NGO tertentu yang cuba menjadikan nas-nas agama sebagai sendaan adalah terbit daripada salah satu dari tiga niat di atas. Mereka ini bukan sahaja tidak mencukupi ilmu pengetahuan agamanya sebaliknya mereka gagal membersihkan niat mereka dalam menuntut ilmu syarak atau ketika membaca bahan agama.
  1. Kelahiran tokoh agama ‘segera’ yang mengajar agama di surau, masjid dan sebagainya tanpa mendalami ilmu-ilmu Islam dan disiplin setiap ilmu adalah berpunca dari niat ingin menzahirkan diri sekalipun mereka tidak layak. Sebahagian mereka sememangnya mempunyai sedikit pengajian agama. Namun niat ingin segera muncul di khalayak ramai menjadikan mereka tergesa-gesa menjadi guru orang ramai sebelum mereka menguasai ilmu. Maka lahir fatwa-fatwa yang menyanggahi kitab Allah dan sunnah RasululLah s.a.w.
  1. Orientalis telah memperdayakan umat Islam dalam persoalan niat menuntut ilmu ini. Maka kita dapati pada hari ini ramai yang memiliki sijil agama sehingga ke peringkat kedoktoran falsafah dari dunia barat dengan ‘berguru’ kepada Yahudi dan Kristian. Sikap tidak mementingkan ilmu dan ingin segera memeliki sijil segera dan memperolehi habuan dunia menjadikan sebahagian mereka mengambil jalan pintas dengan berguru kepada musuh-musuh agama dalam bidang agama. Kebanyakan mereka pulang ke dunia Umat Islam dengan membawa pemikiran yang beracun. Secara sedar atau tidak mereka ini hari demi hari hanya menambahkan keraguan jiwa mereka terhadap agama, demikian juga mereka sebarkan kepada umat Islam.

Sebab itu seorang tabi’ besar Muhammad bin Sirin (wafat 110H) menyebut : maksudnya : “Sesungguhnya ilmu ini (mengenai al-Quran dan as-Sunnah) adalah Deen (agama). Oleh itu perhatikanlah daripada siapa kamu semua mengambil agama kamu.” (riwayat Muslim pada muqaddimah sahihnya)

Bayangkan bagaimana dipelajari aqidah Islamiyyah daripada guru yang kafir yang tidak percayakan Islam, bagaimana dipelajari tafsir daripada guru yang tidak percayakan al-Quran, bagaimana dipelajari hadith daripada guru yang tidak beriman dengan Muhammad sebagai Rasul, bagaimana dipelajari fekah daripada guru yang tidak pernah mengamalkan hukum hakam syarak. Namun hanya kepada Allah kita mengadu betapa ramai anak-anak umat Islam yang mendapat kelulusan agama dengan panduan mereka yang tidak beriman kepada Islam. mereka pulang dengan membawa gelaran-gelaran ilmu, namun sebenarnya sebahagian mereka hanya membawa racun kepada umat Islam.

Cahaya muka Nabi Muhammad….

Telah diriwayatkan daripada Siti Aishah bahawa ia telah berkata : “Sedang aku menjahit baju pada waktu sahur (sebelum subuh) maka jatuhlah jarum daripada tanganku, tiba-tiba kebetulan lampu pun padam, lalu masuklah Rasulullah s. a. w. Ketika itu juga aku dapat mengutip jarum itu kerana cahaya wajahnya, lalu aku berkata, ” Hai Rasulullah alangkah bercahayanya wajahmu!

Seterusnya aku bertanya: ” Siapakah yang tidak akan melihatmu pada hari kiamat?”

Jawab Rasulullah : “Orang yang bakhil.”

Aku bertanya lagi : “Siapakah orang yang bakhil itu?”

Jawab baginda : “Orang yang ketika disebut namaku di depannya, dia tidak mengucap selawat ke atasku.”

BERDOA

Berkata Al-Barra’ r. a. bahawa Nabi s. a. w. bersabda: “Segala doa itu terdinding (terhalang untuk dikabulkan) daripada langit sehingga orang yang berdoa itu mengucapkan selawat untuk Muhammad dan keluarga Muhammad.”

KIJANG DAN ANAKNYA

Diriwayatkan oleh Abu Na’im di dalam kitab ‘Al-Hilyah’ bahawa seorang lelaki lalu di sisi Nabi s. a. w. dengan membawa seekor kijang
yang ditangkapnya, lalu Allah Taala (Yang berkuasa menjadikan semua benda-benda bercakap) telah menjadikan kijang itu bercakap kepada Nabi s. a. w. : “Hai Pesuruh Allah, sesungguhnya aku ada mempunyai beberapa ekor anak yang masih menyusu, dan sekarang aku sudah ditangkap sedangkan mereka sedang kelaparan, oleh itu haraplah perintahkan orang ini melepaskan aku supaya aku dapat menyusukan anak-anakku itu dan sesudah itu aku akan balik ke mari.”

Bersabda Rasulullah s. a. w. ” Bagaimana kalau engkau tak balik ke mari semula?” Jawab kijang itu: “Kalau aku tidak balik ke mari, nanti Allah Taala akan melaknatku sebagaimana Ia melaknatkan orang yang tidak mengucapkan selawat bagi engkau apabila disebut nama engkau disisinya.”

Lalu Nabi s. a. w. pun bersabda kepada orang itu : “Lepaskan kijang itu buat sementara waktu dan aku jadi penjaminnya.”

Kijang itu pun dilepaskan dan kemudian ia kembali ke situ semula.
Maka turunlah malaikat Jibril a. s. dan berkata : “Hai Muhammad, Allah Taala mengucapkan salam kepada engkau dan Ia (Allah) berfirman: ” Demi KemuliaanKu dan KehormatanKu, sesungguhnya Aku lebih kasihkan umat Muhammad daripada kijang itu kasihkan
anak- anaknya dan Aku akan kembalikan mereka kepada engkau sebagaimana kijang itu kembali kepada engkau.” Alhamdulillah.. marilah memperbanyakkan bersukur dan berselawat kerana kita tergolong dalam umat Muhammad.

Rasulullah SAW.
Hai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu

(surah Al-Baqarah ayat : 208)

ALLAH TETAP TERIMA TAUBAT WALAUPUN… MEMBUNUH 100 ORANG

Pada zaman Nabi, kemudian beralih kepada zaman sahabat, kadang-kadang kita membaca berbagai cerita dan kisah manusia pada zaman itu.

Kisah-kisah ataupun peristiwa yang berlaku itu kadang-kadang aneh dan menggerunkan kita zaman ini membaca dan mendengar.

Sebenarnya, pada hakikatnya cerita-cerita ataupun peristiwa itu merupakan satu pengajaran ataupun iktibar kepada manusia di akhir zaman ini.

Contoh mengenai satu hadis Nabi s.a.w. yang menerangkan seorang yang sudah membunuh seramai 99 orang. Kemudian dia ingin bertaubat, dan akhirnya dia membunuh lagi hingga menjadikan seramai 100 orang.

Kisah ini sering diceritakan para ulama' dan tokoh pendakwah kita dalam mana-mana kuliah atau pun forum.

Hakikatnya, kisah ini memang menakjubkan, tetapi ia memberi pengajaran yang paling berguna utk kita di zaman mutakhir ini.

Ada satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim. Cerita ini disampaikan kepada kami oleh Muhammad Ibnul Mutsanna dan Muhammad bin Bassyar (susunan kata Ibnul Mutsanna)

Kedua-duanya menerima hadis ini dari Mu'az bin Hisyam. Hisyam pula menerimanya dari Qatadah, dari Abu Bakar As-Siddiq dari Abi Said Al-Khudry, berkata Ia:

"Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: "Di antara orang yang hidup sebelum kamu, ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang manusia."

"Lalu dia mencari seorang yang paling alim untuk bertanya. Maka orang tunjukkan kepadanya seorang pendita. Orang itu lalu mendatangi pendita itu lalu bertanya, bahawa dia telah membunuh 99 orang manusia, apakah masih boleh dia bertaubat kepada Tuhan?

"Pendita itu menjawab: "Tidak…" Maka pendita itu pun dibunuhnya sehingga genap 100 orang manusia. Lalu dia mencari lagi orang yang paling alimdi permukaan bumi ini."

"Dia kemudian ditunjukkan orang kepada seorang yang paling alim, dan banyak serta luas pengetahuannya. Lalu dia sudah membunuh 100 orang manusia, masih dapatkah dia bertaubat kepada Tuhan?

"Orang alim itu menjawab: "Dapat dan tidak ada satu halangan baginya untuk bertaubat. Tetapi orang alim itu menasihatkannya untuk berpindah ke negeri tertentu, kerana di negeri itu ramai manusia yang baik-baik yang selalu beribadat menyembah Allah. Beribadatlah bersama-sama mereka.

"Dan orang itu diberitahu jangan kembali lagi ke kampungmu kerana kampungmu itu kampung yang busuk (ramai orang jahat).

"Orang itu pun berangkatlah meninggalkan kampung halamannnya ke negeri yang ditunjukkan itu.

"Di tengah-tengah perjalanan itu tiba-tiba orang itu meninggal dunia. Lalu bertengkarlah mengenai orang itu oleh Malaikat Rahmat dan Malaikat 'Azab."

"Berkata Malaikat Rahmat: "Orang ini matinya dalam keadaan bertaubat sedang menghadapkan seluruh jiwanya kepada Tuhan."

"Dan berkata Malaikat 'Azab: "Orang ini tidak ada kebaikan sedikit pun. Tiba-tiba turun satu Malaikat lain berbentuk manusia biasa."

Malaikat Rahmat dan Malaikat 'Azab mengangkat Malaikat ini manmade hakim antara mereka.

Malaikat ini memerintahkan untuk mengukur jarak antara tempat kematian itu dengan tempat yang dituju dan tempat asalnya. Ketempat mana yang dia lebih dekat, maka itulah yang menentukan apakah orang ini termasuk sebahagian Malaikat Rahmat dan Malaikat 'Azab.

"Setelah diukur, ternyata ia lebih dekat ke tempat yang dituju. Maka orang itu dibawalah oleh Malaikat Rahmat (masuk syurga tertentu)."

Qatadah Hassan menerangkan bahawa orang itu ketika meninggal dunia naik dadanya (merasa sesak di dalam dadanya).

Di dalam hadis ini diterangkan bahawa ketika kedua Malaikat itu sedang mengukur jarak, Allah lalu memerintahkan kepada bumi yang berada di antara tempat itu dengan tempat yang dituju supaya menjadi lebih dekat.

Begitulah kisahnya yang diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada para sahabatnya, di mana kisah ini menjadi teladan kepada kita semua, iaitu kepada umatnya.

Hadis ini memberitahu kita bahawa pintu taubat sentiasa terbuka. Sebanyak manapun dosa yang kita lakukan, maka Allah akan menerimanya.

Maksudnya, kita janganlah berputus asa dalam menghadapi cubaan ini. Pintu taubat terbuka, walaupun orang itu sudah membunuh seramai 100 orang, tetapi hatinya tetap yakin mahu bertaubatkerana tidak mahu mengerjakan lagi perbuatan buruk itu.

Masyitah direbus kerana cintanya

Sebagaimana maklum, Firaun dengan segala kesombongan dan kebongkakannya telah mengaku dirinya Tuhan dan memaksa semua rakyat jelata menyembah dan memperhambakan diri kepadanya. Barangsiapa yang ingkar akan disiksa dan dibunuh. Begitulah kejamnya Firaun dan kerajaannya. Namun begitu terdapat beberapa orang yang telah sedar dan beriman kepada Allah di antaranya Siti Asiah, isteri Firaun dan keluarga Masyitah. Masyitah adalah pelayan raja dan lebih terkenal sebagai tukang sikat Firaun. Mereka terpaksa menyembunyikan iman mereka kepada Allah, dengan itu mereka tidak akan diganggu.

Tetapi pada satu hari, sewaktu Masyitah sedang menyikat rambut salah seorang daripada puteri Firaun, tiba-tiba sikat itu terjatuh dan dia dengan tidak sengaja melatah dan menyebut "Allah". Puteri tersebut apabila mendengar perkataan "Allah", dia pun bertanya kepada Masyitah siapakah "Allah" itu. Masyitah pada mulanya enggan untuk menjawab pertanyaan itu tetapi setelah didesak berkali-kali, Masyitah memberitahu bahawa Allah itu adalah Tuhan yang Esa dan Tuhan sekalian Alam.

Puteri itu dengan serta-merta mengadu pada Firaun akan hal Masyitah itu. Firaun agak terperanjat bila mendengar Masyitah menyembah Tuhan selain daripadanya. Maka Firaun dengan kekuasaan yang ada padanya telah memerintahkan menterinya yang bernama Hamman untuk membunuh Masyitah dan kaum keluarganya yang telah menyembah Allah. Firaun sedikit pun tidak mengenang jasa Masyitah terhadap keluarganya. Selain menjadi tukang sikat, Masyitah juga mengasuh dan menguruskan istana Firaun. Tetapi tanpa usul periksa dan kejam Firaun menjatuhkan hukuman kepada Masyitah.

Inilah masanya untuk menguji Masyitah, seorang wanita yang lemah fizikalnya tetapi memiliki kekuatan jiwa yang luar biasa. Beliau dengan lapang dada menerima apa sahaja yang hendak dilakukan oleh manusia yang tidak berhati perut itu. Hamman telah memaksa pengawal-pengawalnya untuk menyediakan sebuah kawah yang besar untuk mencampakkan Masyitah dan keluarganya yang ingkar dengan Firaun seandainya mereka tidak mahu kembali kepada Firaun. Masyitah bersama dengan suami dan empat orang anaknya termasuk seorang anaknya yang masih bayi dihadapkan ke hadapan Firaun untuk diberi kata dua sama ada hendak menyembah Firaun atau dicampakkan ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih. Maka dengan tegas Masyitah dan suaminya tetap mempertahankan keimanan mereka dengan mengatakan Allah itulah Tuhan yang Esa dan Firaun hanyalah manusia biasa.

Dengan keputusan itu, Hamman dengan tiada rasa peri kemanusiaan mencampak satu persatu keluarga Masyitah ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih. Sambih ketawa terbahak-bahak dengan nada yang menyindir, Hamman mencampakkan suami Masyitah dahulu diikuti dengan anak-anaknya yang lain. Masyitah melihat sendiri dengan mata kepalanya bagaimana anak-anaknya terkapai-kapai di dalam air yang panas menggelegak itu. Kini tinggal Masyitah dan bayinya yang akan dicampakkan ke dalam kawah tersebut.

Syaitan membisikkan ke telinga Masyitah rasa was-was dan kasihan melihat anaknya yang masih kecil itu disiksa sedemikian rupa. Masyitah mula ragu-ragu samada hendak terjun ataupun tidak. Tetapi dengan kekuasaan Allah, tiba-tiba anak yang masih bayi itu berkata-kata kepada ibunya, Masyitah : "Wahai ibu, marilah kita menyusul ayah, sesungguhnya syurga sedang menanti kita".

Bila mendengarkan kata-kata yang sangat ajaib dari anaknya yang masih bayi itu, dengan rasa kehambaan dan cinta kepada Allah, Masyitah terjun bersama anaknya ke dalam kawah yang berisi air panas itu dan matilah mereka sekeluarga demi mempertahankan iman mereka kepada Allah.

Tetapi Allah tidak membiarkan manusia berbuat durjana sesuka hati. Allah datangkan kepada Firaun, Hamman dan para pengawalnya yang membunuh Masyitah dengan azab siksa yang sangat pedih. Allah runtuhkan kerajaan Firaun dan Hamman mati di dalam runtuhan tersebut. Tentera dan para pengawalnya ditenggelamkan di dalam dasar laut. Mereka mati di dalam keadaan kafir. Sebaliknya Masyitah sekeluarga mati di dalam keadaan yang mulia dan bahagia di dalam syurga.

Sewaktu Rasulullah s.a.w Isra' dan Mikraj, baginda telah melalui sebuah makam. Makam itu sangat wangi dengan bauan kasturi. Lantas Rasulullah s.a.w bertanya kepada Jibril yang mengiringinya, maka jawab Jibril a.s : "Itulah Makam Masyitah, salah seorang wanita penghulu syurga." Begitulah keistimewaan yang Allah berikan kepada Masyitah. Walaupun tubuhnya dan tubuh keluarganya hancur, namun di sisi Allah mereka sangat mulia.

Wahai wanita yang mukmin, bersabarlah menghadapi hidup di dunia ini. Kesusahan dan kekurangan, kata nista manusia dan kejian di dalam membangunkan Islam itu hanyalah sementara. Bersabarlah dan tenangkan hati dengan banyak mengadu dan mengharapkan keredhaan Allah. Kuatkan iman dan sematkan di dalam hati kecintaan kepada Allah dan Rasul itu melebihi dari segalanya. Patuh dan taat akan perintah suami, didik anak-anak dengan Islam. Insya Allah kita akan selamat di dunia dan akhirat. Marilah sama-sama mencontohi Masyitah yang sanggup mengorbankan nyawanya dan nyawa keluarganya demi mendapatkan cinta kepada Allah. Tidakkah kita ingin mengikut jejaknya ?